06 November 2013

Salahuddin tarik diri tanding Timbalan Presiden

2 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti sempena muktamar yang bermula 22 hingga 24 November ini.

Menyatakan hal itu kepada Harakahdaily, beliau memaklumkan tiada keperluan untuk beliau bertanding jawatan nombor dua parti itu setakat ini.

"Saya merasakan tidak ada keperluan untuk saya buat masa ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang telah mencalonkan saya untuk jawatan ini dan terharu diatas kepercayaan yang sangat bermakna kepada perjuangan saya selama ini," katanya.


Bagi jawatan Naib Presiden PAS pula, Salahuddin berkata beliau tidak mahu mengumumkannya namun telah menyerahkan keputusannya kepada jawatankuasa pemilihan parti.

"Saya juga telah meneliti dengan penuh keinsafan dan tanggung jawab dari pencalonan yg saya terima.

"Keputusan telah saya buat dan telah saya serahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti," jelasnya.

"Sama ada saya menerima atau menolak untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS, tunggulah pengumuman daripada jawatankuasa pemilihan parti nanti," katanya.

Selain beliau, turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS termasuklah Mohamad Sabu selaku penyandang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: