06 November 2013

Harga Gula Turun Hanya Waktu Pilihanraya

2 Muharram 1435H. [MOD] -

Tahniah kepada PAS Kedah dan pengundi DUN Sungai Limau kerana telah berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau semasa pilihanraya kecil yang lalu.  Semasa pilihanraya kecil DUN Sungai Limau harga gula diturunkan sehingga RM1 sekilo. Walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan alasan untuk mengelakkan penyakit diabetes (kencing manis) tapi semasa  pilihanraya kecil (PRK) Sungai Limau gula dijual dengan harga yang murah.

Sungguh beruntung penduduk di Sungai Limau kerana dapat membeli gula dengan harga murah. Mengapa hanya semasa kempen PRK Sungai Limau kerajaan dapat menurunkan harga gula tetapi selepas itu harga gula naik semula seperti biasa.

Mengapa hanya semasa PRK harga gula boleh diturunkan sedangkan apabila tiada PRK harga gula susah hendak diturunkan walaupun harga gula dunia sudah jatuh? Dimana keikhlasan kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat? Disini jelas menunjukkan betapa tidak ikhlasnya kerajaan BN terhadap rakyat kerana mereka hanya mementingkan undi dan kekuasaan dari menjaga kesihatan rakyat.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat, sepatutnya kerajaan tidak mempermainkan perasaan rakyat dengan menipu rakyat semasa berkempen dengan menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan dan menganggap rakyat Malaysia seolah-olah seperti anak-anak kecil yang tidak mengerti untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

Contohnya harga gula boleh diturunkan semasa PRK tetapi selepas itu naik semula tanpa memberi sebarang sebab mengapa harga gula hanya turun semasa pilihanraya saja. Ini jelas satu penipuan yang nyata terhadap rakyat kononnya kerajaan menaikkan harga gula sebab hendak menjaga kesihatan rakyat tetapi semasa PRK semua masalah kesihatan diketepikan begitu saja.

Kita mengesa pihak kerajaan segera menurunkan semula harga gula pada harga sebelumnya atau lebih murah lagi.  Penyakit diabetes tiada kena mengena dengan kenaikan harga gula.Walaupun harga gula naik, penyakit diabetes masih juga berlaku selagi ada orang yang mengambil guna secara berlebihan dalam makanan dan juga minuman.

Adalah lebih baik pihak kerajaan memberi penerangan tentang menjaga kesihatan serta mengawal bahan makanan dan minuman yang menggunakan gula secara berlebihan dari menaikkan harga gula. Akibat kenaikan harga gula, hampir semua makanan seperti roti dan minuman juga naik. Kenaikan harga gula hanya membebankan kehidupan rakyat biasa.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

No comments: