15 November 2013

Pemilihan: Ingat akhirat sewaktu kempen

11 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Mutakhir ini terlalu banyak penulisan yang dihantar melalui medium baru sama ada whatsApp, facebook, twitter dan lain-lain yang melampaui batas susila dan akhlak berjemaah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tulisan atau gambaran melampaui batas susila akhlak Islam tentu tidak layak mewakili jamaah Islam. 

“Saya berharap tulisan-tulisan sedemikian bukan dari kalangan ahli PAS, dan ia sekadar saraf musuh untuk memecahkan jamaah. 

“Kita wajib beringat bahawa kita bertanggungjawab nanti di hadapan Allah dengan apa yang kita tulis atau lakaran dalam apa jua bentuk. 

“Ingatlah, semua tulisan yang kita muatkan akan dibaca oleh pelbagai kategori manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Oleh itu, beliau menyeru ahli-ahli PAS agar menapis setiap berita dan karikatur sebelum dimuat naik atau sebarkan kepada orang lain. 

Beliau mengIngatkan bahawa setiap apa yang ditulis atau disebarkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. 

“Ingat kepada nasihat Saidina Umar: Andainya akhlak kita sama dengan akhlak musuh kita, Allah tidak akan membantu dan memberi kemenangan kepada kita. 

“Marilah kita sama-sama memelihara akhlak jamaah. Jangan bagi peluang untuk pihak musuh memasukkan jarum untuk memecahkan jamaah yang kita cintai ini. Semoga Allah ampuni dosa-dosa kita,” ujarnya lagi.

Harakahdaily

Tiada ulasan: