21 December 2013

Harga naik: Pakar ekonomi jangan jadi pengampu

17 Safar 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakar-pakar ekonomi diingatkan agar tidak menjadi pengampu kerajaan sebaliknya harus berani menerangkan faktor kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku secara mendadak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pakar-pakar ekonomi mesti berani menerangkan kepada rakyat mengapa kerajaan Umno BN menjadi ‘gila’ melakukan semua kenaikan secara mendadak bermula 2014, termasuk vukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa pada April 2015.

Beliau berkata, tindakan Ketua Ekonomis CIMB, Lee Heng Guie dan Ketua Ekonomis RAM, sebuah agensi penarafan tempatan, Dr Yeah Kim Leng membuat ramalan mengenai inflasi agresif adalah untuk mengurangkan kejutan kepada rakyat.

"Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Razak) guna pendekatan ‘conditioning’ minda bagi mengurangkan kejutan kepada rakyat. Najib percaya rakyat mudah untuk terima penerangan pakar-pakar ini.

"Ramalan inflasi agresif ini tidak perlu dibuat oleh pakar kerana pasti nanti akan berlaku selepas kenaikan tarif elektrik, kos  pengangkutan awam seperti LRT dan monorel serta kadar tol 13 lebuh raya untuk tahun 2014.

"Pakar ekonomi ini juga menjangkakan akan dinaikkan beberapa kali lagi kos bahan bakar yakni petrol dan diesel dan rakyat rakyat semakin mula gerun memikirkan mengenai kenaikan ini dan tak boleh membayangkan kesan ke atas inflasi yang pastinya lebih daripada CPI 4% yang diwawarkan oleh pakar-pakar ini," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS turut berkata, pakar-pakar ekonomi mesti berani menjelaskan kepada rakyat mengapa berlaku defisit fiskal selama 16 tahun dan menjelaskan mengenai dakwaan bahawa negara akan bankrap jika kerajaan tidak mengurangkan subsidi dan menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

"Mereka perlu terangkan tentang hutang kerajaan Pusat berjumlah RM543.3 yang menghampiri had pinjaman (statutory limit) 55% nisbah KDNK dalam undang-undang kerajaan BN sendiri seumpama Akta Pinjaman Tempatan 1959.

"Mereka juga kena cerita kepada rakyat, khususnya sejak Najib ambil alih 2009, hutang kerajaan melonjak dua kali ganda. Betulkah hutang ini antara sebabnya juga kerana tadbir urus yang jelek dan tata kelola kewangan yang boros, sarat ketirisan, rasuah serta peruntukan keutamaan yang salah dan songsang (misallocation of fund)?

"Mereka kena terangkan bahawa ramai kata kerajaan memangsakan rakyat kerana memeterai perjanjian-perjanjian konsesi utiliti seperti air, lebuh raya dan elektrik yang jelasnya berat sebelah. Tindakan kronisme ini jelas memperkayakan kroni tetapi sebaliknya membebankan rakyat. Betulkah semua dakwaan ini? soalnya.

Tambah beliau lagi, pakar-pakar ekonomi juga seharusnya berani untuk menyatakan bahawa risiko akibat pengurangan pelonggaran kuantitatif (Quantitive Easing) di Amerika Syarikat masih wujud.

Ini sekaligus bermaksud pengaliran keluar modal bakal berulang seperti baru-baru ini dan masalah imbangan pembayaran di negara-negara seperti Malaysia juga akan terjejas akibat impak ke atas ekonomi global.

"Pakar-pakar ekonomi juga sepatutnya lebih peka terhadap golongan berpendapatan rendah dan terutama yang tidak punya gaji kerana bekerja sendiri seperti nelayan, petani, kerja kampung dan peniaga pasar malam.

"Mereka tidak mendapat kenaikan gaji dan imbuhan berbanding yang disebut oleh ahli ekonomi tadi. Betul golongan menengah dan menengah mengecapi kenaikan gaji purata 5-6%. Ini tidak termasuk kenaikan kepada ratusan peratus kepada penguasa politik negeri dan sedikit lagi Pusat dan ahli-ahli Parlimen, tapi tidak rakyat teramai," katanya lagi.

Beliau juga berkata, ahli ekonomi juga mesti bertanggungjawab mendedahkan tentang kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) akan terpaksa menaikkan Kadar Pinjaman Semalaman atau OPR ke paras 3.5% hingga 4% sekaligus menaikkan kos pinjaman atau kadar purata pinjaman (Average Lending Rate-ALR).

"Langkah ini terpaksa diambil BNM bagi menangani kadar inflasi dan tekanan inflasi yang telah melebihi atau melepasi kadar simpanan.

"Ahli ekonomi juga kena mengingatkan kerajaan berapa ramai pula akan bakal terbeban dengan kadar pinjaman yang tinggi ini bagi membayar ansuran bulanan mereka. Berapa ramai pula bakal diisytihar muflis atau bankrap?"

"Sementara kita sanjungi peranan ahli ekonomi, kita mengingatkan mereka supaya bertindak professional, berintegriti dan jangan menjadi “pak karut” kerajaan. Bertindaklah mengikut tuntutan maklumat berdasarkan kajian sebenar para ‘analysts’. Peliharalah maruah dan integriti keprofesiolan tuan-tuan," katanya.
Harakahdaily/-

1 comment:

Anonymous said...

Ahli ekonomi juga jangan jadi lembu peliharaan UBN.