21 December 2013

Protes sasar Yingluck

17 Safar 1435H. [MOD] -
Terus protes sasar YingluckPenunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan di Bangkok.
BANGKOK: Penunjuk perasaan antikerajaan Thai terus berarak di ibu negara semalam bagi menaikkan semangat penyokong sebelum perhimpunan besar-besaran hujung minggu ini bagi meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, meletak jawatan.


Yingluck mengumumkan pilihan raya awal minggu lalu apabila bantahan mencapai kemuncak. Yingluck kekal sebagai Perdana Menteri sementara sehingga pengundian 2 Februari depan dan menolak melewatkan tarikhnya bagi membolehkan pembaharuan politik dilakukan seperti dituntut penunjuk perasaan.

“Sebaik kerajaan letak jawatan, saya mahu orang berkecuali mentadbir,” kata seorang penunjuk perasaan, Siriroj Oh-Prechacharn, ketika ramai bersedia meninggalkan kawasan perhimpunan utama di Tugu Demokrasi. 

Kira-kira 160,000 penunjuk perasaan mengepung pejabat Yingluck pada 9 Disember tetapi momentum semakin menurun sejak itu.

Majlis Keselamatan Kebangsaan berkata, kira-kira 3,000 orang mengambil bahagian dalam perarakan terbaru, separuh daripada saiz protes apabila pusingan baru bantahan diadakan, Khamis lalu.

Keraguan terus wujud sama ada pilihan raya dapat diadakan seperti dijadualkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bimbang kemungkinan tidak dapat memastikan undian berjalan lancar.

Pendaftaran parti politik bermula Isnin ini dengan tumpuan difokuskan kepada sama ada pembangkang utama, Parti Demokrat akan mengambil bahagian. 


Ahli perundangan Demokrat meletak jawatan dari Parlimen bulan ini untuk berarak bersama pemimpin bantahan, Suthep Thaugsuban, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana kerajaan diterajui Demokrat sehingga 2011.

Sebahagian bersetuju dengan desakannya mahu pembaharuan dilaksanakan sebelum pilihan raya tetapi sebahagian lagi percaya parti mereka yang tertua di Thai, perlu menghormati proses demokratik dan bertanding. Keputusan parti dijangka dibuat hari ini.

Suthep berkata, pilihan raya perlu ditangguhkan sehingga pembaharuan dilaksanakan oleh Majlis Rakyat.

Katanya, beliau mahu menghapuskan penipuan undi, membasmi rasuah dan membaharui agensi agensi negara, termasuk polis.

Paling utama, beliau mahu menghapuskan pengaruh bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, abang Yingluck, dalam politik di negara itu.

Thaksin, bekas jutawan telekomunikasi, disanjung ramai penduduk miskin pedalaman kerana program penjagaan kesihatan murah dan dasar lain yang diperkenalkan ketika beliau berkuasa.

Beliau disingkirkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini memilih tinggal dalam buangan. - REUTERS

No comments: