08 Disember 2013

Pahang, Terengganu cecah 60,000 mangsa

4 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pahang dan Terengganu kini mencatatkan jumlah keseluruhan 60,851 mangsa banjir yang ditempatkan 213 pusat penempatan banjir sehingga tengah hari ini.

Di PAHANG, harapan untuk melihat keadaan banjir di negeri itu reda seakan tipis apabila hujan berterusan sejak awal pagi semalam. 

Cuaca cerah sepanjang kelmarin membuatkan ramai menjangkakan berterusan namun sebaliknya berlaku. 

Sehingga kira-kira 9 pagi tadi, sekurang-kurangnya mangsa masih berada di 149 pusat pemindahan di negeri ini.
Raun menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila merekodkan 209 mangsa daripada 57 keluarga dengan 10 pusat pemindahan dibuka.
Kuantan terus menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 34,426 mangsa daripada 10,236 keluarga dipindahkan ke 42 pusat pemindahan. 

Pekan mencatatkan penurunan apabila 3,329 mangsa daripada 806 keluarga dipindahkan ke 31 pusat pemindahan. 

Sekurang-kurangnya 57 mangsa daripada 42 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan di Rompin. 

Di Maran pula, 183 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Temerloh turut mencatatkan peningkatan apabila 1,002 mangsa daripada 224 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah itu. 

Seramai 53 mangsa daripada 11 keluarga pula berada di empat pusat pemindahan di Lipis.

Di Jerantut, 520 mangsa daripada 120 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan dan Bera mencatatkan 189 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan. 

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mengingatkan penduduk di negeri ini supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Katanya, penduduk terutama yang berada di kawasan rendah diingatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan mengikut arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.

TERENGGANU turut catat peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir, terutama daerah Kemaman.

Sehingga 11 pagi tadi, 22,391 mangsa daripada 5,126 keluarga ditempatkan di 64 pusat pemindahan di seluruh Terengganu.

Daerah Kemaman menunjukkan peningkatan mendadak iaitu seramai 18,576 mangsa daripada 4,177 keluarga yang dipindahkan di 43 pusat pemindahan. 

Peningkatan yang ketara berlaku berikutan orang ramai mengambil langkah awal selepas mendapat maklumat akan berlaku gelombang kedua banjir sekali gus mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, Dungun yang sebelum ini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi menunjukkan penurunan apabila hanya 3,764 mangsa (936 keluarga) saja ditempatkan di 18 pusat pemindahan. 

Sementara di Marang, 26 mangsa daripada lapan keluarga masih ditempatkan di satu pusat pemindahan. 

Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori ketiga) dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan dari 60kmsj dan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan.

mymetro

Tiada ulasan: