08 Disember 2013

Zahid bangkit isu syiah alih isu ketirisan, barang naik

4 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hilang kredibiliti apabila menuduh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengamalkan ajaran Syiah.


Jelasnya lagi, tindakan tersebut turut membuktikan Zahid cuba melaga-lagakan umat Islam di negara ini tanpa sebarang bukti kukuh sepertimana dilakukan oleh agenda zionis di luar negara."Saya melihat Zahid sudah hilang kewarasannya serta kredibiliti beliau sebagai menteri dengan melabelkan Timbalan Presiden PAS mengamalkan ajaran Syiah.

"Tindakan tersebut juga tidak ubah sepertimana dilakukan oleh zionis yang memperbesarkan isu Syiah diperingkat antarabangsa dengan tujuan untuk memecah belah umat Islam," jelas beliau.

Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di PWTC semalam yang menuduh Mohamad mengamalkan ajaran Syiah.

Jelas Mahfuz, Umno cuba menyakinkan masyarakat Melayu bahawa mereka merupakan parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu sehingga terpaksa menuduh pihak lain mengamalkan Syiah.

"Mereka (Umno) semakin tertekan apabila melihat orang Melayu tidak lagi menyebelahi mereka, yang mana rasuah ketirisan dan peningkatan sara hidup yang semakin teruk hingga Zahid cuba mengalihkan isu tersebut kepada Syiah agar rakyat lupa.

"Sedangkan beliau tidak tahu tindakan tersebut hanya akan menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara dari peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut menegaskan apa yang dikatakan oleh Zahid itu hanya satu pembohongan semata-mata.


Harakahdaily

Tiada ulasan: