15 December 2013

S'gor teruskan program tuisyen percuma kepada rakyat

11 Safar 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) anjuran kerajaan negeri akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan demi meningkatkan lagi tahap pencapaian diraih setakat ini sejak dilaksanakan, pada Mac 2009.


Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata program bantuan kelas tusiyen percuma melalui skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu jelas mendapat sambutan majoriti rakyat Selangor yang menyokong pelaksanaannya.

“Memang ramai memberikan input yang baik terhadap PTRS dan minta ia diteruskan, bahkan tidak sabar untuk turut serta memulakannya secepat mungkin,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, antara penambahbaikan bagi program itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Penyelaras di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun akan diminta mengemukakan lebih daripada satu nama Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) yang bakal dilantik bagi mengendalikan program berkenaan.

Katanya, pihak perunding juga akan dilantik bagi pemantauan PTRS dalam usaha meneruskan kesinambungan kejayaan program itu sejak dimulakan lima tahun lalu.

“Sebelum ini, kita bagi kepada dua pihak perunding untuk memantaukan PTRS dan menyelaraskannya. Kita akan buka dan tengok syarikat atau pihak mana yang akan dipertanggungjawabkan untuk meneruskan program ini.

“Tidak kira pihak mana, sama ada syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO). Mereka harus mampu melaksanakan dan mencapai tahap ditetapkan kerana kita sudah berjaya melaksanakan mengikut perancangan, selain perlu berjaya serta lebih baik daripada apa kita capai selama ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang berminat untuk turut serta menjayakan program itu perlu membuktikan kemampuan bagi melaksanakannya dan menepati silibus pelajaran kerana membabitkan pelajar tahap sederhana dan lemah.

Katanya, sesi temuduga bagi tujuan itu akan dijalankan bagi mengenalpasti pihak dan tenaga kerja yang layak bagi menjalankan misi kerajaan negeri itu.

“PTRS menekankan bantuan pendidikan kelas tuisyen percuma kepada pelajar dan jika didapati seseorang pelajar itu memenuhi syarat kelayakan, maka dia boleh menyertainya,” katanya.


Harakahdaily

No comments: