15 Disember 2013

Pastikan paras air kolam cukup, elak pengguna terjejas

11 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) diarah memastikan paras Kolam Imbangan Matang Pagar yang membekal air bersih kepada pengguna di Lembah Klang berada sekurang-kurangnya pada paras 6 meter sebelum henti tugas pada 17 Disember ini.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media semalam, berkata arahan itu bagi memastikan paras air di kolam berkenaan tidak jatuh bawah paras 1.5 meter bagi mempercepat pemulihan bekalan kepada pengguna yang terjejas ekoran henti tugas loji.

Katanya, PNSB  selaku penyelenggara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2  diarah bersedia dengan segala persiapan supaya kerja penyelenggaraan  siap mengikut jadual.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 membekal air terawat berjumlah 950 juta liter sehari ke Kolam Imbangan Bukit Mayong dan Matang Pagar.

Bagaimanapun, kerja penyelengaraan di loji berkenaan akan menjejaskan Kolam Imbangan Matang Pagar manakala Kolam Imbangan Bukit Mayong beroperasi seperti biasa.

Sistem rangkaian agihan bekalan air sedia ada membolehkan kawasan yang terjejas menerima bantuan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3, Loji Rawatan Air Sungai Batu, dan Loji Rawatan Air Bukit Nanas.

“Justeru, loji-loji rawatan air itu akan membantu meminimumkan kesan gangguan bekalan air ke kawasan yang terjejas.

“Kita menjangka pengguna di beberapa kawasan yang disenarai akan menerima bekalan air dengan tekanan rendah,” katanya dipetik Selangor Kini.


Harakahdaily

Tiada ulasan: