28 January 2014

Kembara dakwah di Tawau dan Sandakan

26 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Gerimis menyapa kami apabila tiba menjejak kaki di Tawau, bandar paling jauh dari Semenanjung Malaysia dan bersebelahan dengan Indonesia. Bumi Tawau adalah paling subur dengan pusat pengajian Islam di negeri bawah bayu itu, bermula dengan pusat pra sekolah PASTI sehinggalah madrasah al hidayah yang semakin menampung permintaan anak-anak tempatan untuk menggali ilmu agama. Gerakan Islam juga bertapak subur di Tawau sejak dekad 80an dimana penjawat awam dari Semenanjung telah menyebarkan dakwah dan fikrah kepada anak tempatan.

Muslim Care Malaysia, NGO kemanusiaan tanpa sempadan memilih daerah ini untuk misi jelajah Borneo yang diadakan setiap bulan oleh badan itu, dengan anggota misi kali ini seramai 15 orang. Dengan anggota pelbagai latarbelakang sosial seperti doktor, arkitek, pendidik, artis , misi kali ini mengadakan pelbagai program dakwah dan khidmat masyarakat. Antaranya di kampung Kuala Apas, anggota misi mengadakan khidmat kesihatan percuma, bengkel smart solat dan motivasi kepada pelajar dan masyarakat.

Kuala Apas antara kampung di Tawau yang mempunyai ramai penduduk miskin tegar, dengan tahap latar belakang pendidikan yang rendah. Di sini juga Muslim Care memberikan sumbangan kepada fakir miskin dan mengadakan klinik gigi bergerak yang mendapat sambutan hangat penduduk setempat. Program forum perdana juga telah diadakan di masjid daerah bertemakan maulid Nabi serta pengkhianatan Yahudi terhadap ar Rasul SAW.

Misi juga cuba menerobos ruang dakwah inklusif dengan mengadakan street dakwah yang menampilkan zuar XPDC, di mana anak-anak muda cuba didekati untuk mereka kembali kepada fitrah. Tergambar riak kegembiraan anak muda Tawau  serta membuka minat mereka untuk mengenali dengan lebih dekat agenda Islam.

Rombongan Muslim Care seterusnya meredah awan ke Sandakan untuk terus mengadakan khidmat bakti di kampung Gum- gum dan Kampung Sundang Air di Batu Sapi. Di kedua buah kampung ini juga anggota misi menjalankan khidmat masyarakat seperti bengkel solat dan motivasi, khidmat kesihatan percuma, bantuan makanan asas kepada fakir miskin, pemeriksaan gigi percuma oleh pengamal perubatan Muslim Care yang terlatih.

Kehidupan sebahagian besar penduduk kampung ini sangat dhaif, termasuk ramai penduduk miskin yang tidak memiliki kad pengenalan , kadar buta huruf yang tinggi serta literasi agama sangat kritikal. Ramai anak remaja yangvtidak tahu mengucap syahadah dan tidak pandai bersolat, namun mereka kelihatan sangat teruja dengan motivasi khas yang diberikan oleh Zuar XPDC.

Program dakwah di Sandakan juga berkolaborasi dengan Usrah Kaki lima, badan bukan profit yag kini mula menjadi fenomena anak muda di Sandakan. Muslim Care mengadakan santai anak muda di jalanan dan juga tempat tumpuan ramai bersama kelompok anak muda usrah kaki lima. Pelbagai watak anak muda ranggi turut menyertai program ini dan kelihatan mereka tidak berganjak apabila mendengar tazkirah agama yang diselangseli dengan persembahan.

Anak-anak muda sekitar Sandakan sesekali turut sama- sama menyanyikan lagu- lagu XpDC seperti 'semangat yang hilang','hentian ini',' penyesalan' dan beberapa lagu yang turut dipersembahkan oleh anak muda tempatan. Pelbagai program dakwah yang diatur padat oleh banyak pihak di Sandakan berjalan dengan lancar termasuk forum perdana maulid serta penerangan perdana isu Palestin dan Syria.

Rombongan Muslim Care sebelum pulang diraikan oleh Haji Hamzah, mantan Pesuruhjaya Sabah yang juga seorang peguam terkenal di Sandakan. Beliau mengharapkan usaha dakwah dan kebajikan di Sabah terus dibantu oleh banyak pihak dari Semenanjung, juga mengharapkan sektor pendidikan Islam di Borneo terus diberikan fokus perdana oleh gerakan Islam.

No comments: