28 January 2014

MB: Anwar sah tanding kerusi DUN Kajang

26 Rabiul Awal 1435. [MOD] -


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan semalam, umum Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding (di) Kajang," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Antara pemimpin yang hadir dalam sidang media itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan  mewakili DAP dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Anwar - yang duduk di sisi Khalid - berkata keputusan bersama pimpinan Pakatan Rakyat itu dibuat bagi memastikan "Selangor terus menjadi asas kukuh buat Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya".

Pengumuman itu menguatkan lagi desas-desus Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di negeri itu.

Ditanya tentang perkara tersebut, Anwar berkata "ia hanya spekulasi" dan beliau mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil akan datang.

"Kita minta Tan Sri Khalid teruskan kerja-kerja dia sementara kita tunggu pilihan raya kecil Kajang," katanya.

Anwar turut ditanya tentang kemungkinan pilihan raya kecil ini mewujudkan persepsi yang beban untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR kini diletakkan kepada pengundi Kajang.

Gesa BN tak tanding

Jelasnya, persepsi itu tidak berbangkit sebaliknya pilihan raya kecil nanti merupakan peluang untuk Pakatan Rakyat meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

"Dia tak berbangkit isu itu kerana kita nak guna (pilihan raya ini) untuk lonjakkan prestasi khidmat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menggesa BN agar tidak meletakkan calon memandangkan kerusi itu disandang PKR dan bagi mengelakkan pengundi keluar mengundi dua kali.

"Kalau boleh, kawasan (ini sudah) dimenangi oleh PKR, Pakatan, (jadi) bagi laluan, tak payah ada pertandingan," kata Anwar ketika ditanya kemungkinan ia membebankan pengundi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Salahuddin berkata PAS akan memberi sepenuh sokongan kepada calon yang diketengahkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pakatan rakyat.
  
Mohamad Azmin Ali yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baru ketika ditemui selepas itu hanya memberi reaksi ringkas berhubung pemilihan Anwar sebagai calon.
  
"Keputusan dah dibuat...saya hanya akan buat kenyataan selepas mesyuarat dengan pimpinan PKR negeri ini," katanya. mk/-

No comments: