20 January 2014

Apa lagi rakyat Sabah boleh harapkan daripada BN

18 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Pada hari Rabu, 15 Januari yang lepas, saya berangkat bersama rombongan pimpinan Pemuda PAS Malaysia ke Bumi Di Bawah Bayu. Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda turut serta dalam rombongan tersebut. Selain menghadiri perbicaraan di mahkamah, kami juga menyantuni anak anak muda dan rakyat Sabah dengan pelbagai program yang telaha disusun. Antaranya dialog anak muda, kuliah di surau-surau dan program turun kawasan.

Antara tempat yang sempat saya turun kawasan adalah di Batu Sapi. Ianya terletak lebih kurang 10km daripada bandar Sandakan. Malang bagi warga Batu Sapi apabila mereka mengalami kerosakan jalan hampir 5km terutama di kawasan Taman Po Hing dan ianya telah berlarutan lebih daripada 3 tahun.


Apabila ditanya adakah sudah diadukan kepada Ahli Parlimen dan Adun berkenaan? Riak wajah mereka menampakkan kekesalan dan kecewa. Mereka sudah puas meminta Ahli Parlimen Batu Sapi daripada BN (PBS), Linda Tsen Thau Lin dan Adun Sekong (Umno), Shamsuddin Yahya menyelenggara jalan tersebut,namun setelah berlalu PRU13, Aku Janji mereka hanya tinggal janji.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt (DAP) telah mengemukakan soalan dalam parlimen berkenaan status jalan berkenaan pada sesi Parlimen yang lepas. Menteri Kerja Raya, dalam jawapan bertulisnya menyatakan bahawa jalan raya tersebut mendapat peruntukan khas melalui Koridor Pembangunan Sabah (SDC) oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 2010 dan telah memperuntukkan RM24 juta untuk menyelenggara jalan tersebut. Namun jalan raya tersebut tidak menerima Sijil Perakuan Siap Kerja oleh JKR Sabab walaupun telah dibuka pada awam sejak 2012. Ia kerana terdapat kecacatan jalan raya yang masih belum diselenggara oleh pihak kontraktor dan JKR Sabah akan menggunakan deposit kontraktor jika ia masih tidak diselanggara.

Realitinya, keadaan jalan raya tersebut sangat menyedihkan (boleh rujuk gambar saya bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ust. Muhd. Kholil Abd. Hadi, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dan beberapa pimpinan Pemuda PAS Sabah dan rakyat) dan membahayakan kepada pengguna jalan raya terutamanya yang berbasikal, bermotorsikal dan kereta kecil. Kebarangkalian mereka terjatuh berisiko tinggi dan ini meresahkan penduduk Batu Sapi. Pihak JKR Sabah juga tidak berusaha menyelenggara projek tersebut walaupun aduan telah dilakukan.

Maka, saya mengesyorkan beberapa cadangan hasil pertemuan bersama penduduk sekitar; 

1. Kementerian Kerja Raya mesti memastikan kontraktor yang dilantik menggunakan bahan yang sesuai untuk jalan yang digunakan oleh kenderaan berat, contohnya kontraktor yang membina jalan raya menuju Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang. Ia penting kerana geografi muka bumi Sabah yang berbukit bukau menjadikam jalan rayanya digunakan dengan kenderaan berat dan besar seperti pacuan 4 roda, lori, bas dan sebagainya. Sekaligus dapat menjimatkan perbendaharaan Negara daripada acap kali menyelenggara jalan raya yang tidak berkualiti di saat harga barang naik kecuali sayur kangkung sahaja yang turun!

2) Pihak JKR Sabah hendaklah melantik kontraktor yang berpengalaman dan mempunyai rekod yang baik, dan bukannya dari kalangan kroni untuk menyelenggara projek tinggalan kontraktor lama. Perkara ini sudah sinonim dengan BN. Mereka lebih mengutamakan kroni dalam pemberian kontrak daripada kredibiliti dan kualiti kontraktor tersebut. Hasilnya, projek yang dilaksanakan ibarat melepas batuk di tepi tangga. Kesannya kembali kepada rakyat yang menanggung kepayahan apabila kemudahan asas seperti jalan raya tidak sempurna.

3) Saya menyeru penduduk tempatan membuat laporan kepada SPRM untuk memulakan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan duit peruntukan bagi pembinaan jalan tersebut. Kita tidak akan redha dan tidak akan diam apabila di saat rakyat tertekan dengan kos sara hidup menekan tetapi pemimpin BN sesuka hati memanipulasi wang rakyat demi kantung mereka kekal penuh.

Projek ini hanya salah satu contoh salah urus tadbir BN sebagai pemerintah. Belum lagi dibongkarkan lebih banyak lagi projek projek yang bermasalah, tidak siap dan terbelengkalai. Di Wilayah Persekutuan sendiri pelbagai projek yang bermasalah dan merugikan rakyat.

Teringat orang orang tua selalu sebut berkenaan UMNO dan BN. Mereka memuja BN kerana merekalah yang membina jalan, sekolah, jambatan, menyediakan itu dan ini. Tanpa BN, mereka merasakan Malaysia tidak membangun seperti sekarang.

Nah, sekarang BN bagaimana? Jalan raya tidak siap, jambatan roboh, stadium runtuh, harga barang naik, minyak naik, gula naik, tarif elektrik naik dan sebagainya.

Apa lagi kita boleh harap pada BN?

Ini Kalilah, PRU 14 Betul-betul TUKAR!

*Penulis adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments: