20 January 2014

Harga kereta turun, sudah-sudahlah tipu rakyat

18 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Apabila tajuk akhbar berbunyi ‘Harga kereta bakal turun lagi’ bermakna harga kereta telah turun sebelum ini dan ianya akan diturunkan lagi. 

Demikian kata Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu yang mengulas tajuk muka depan akhbar harian arus perdana hari ini ‘Harga kereta bakal turun lagi’.


Katanya, perkataan ‘lagi’ bermakna ulangan apa yang telah berlaku sebelum ini. 

Soalannya, tanya beliau bila pula harga kereta turun sebelum ini.  

“Saya berpandangan, tajuk yang lebih tepat adalah, ‘Penurunan harga kereta, rakyat bakal ditipu lagi’,” ujarnya kepada Harakahdaily.     

Beliau mempersoalkan, kalau harga kereta nak diturunkan, kenapa pula perlu tunggu sehingga 2018.

Baginya, begitu lembab sekali urusan kerajaan dalam perkara berkaitan sehingga jangka masa empat tahun diperlukan.

“Atau 2018 adalah tahun di ambang Pilihanraya Umum ke 14? Dengan makna ia adalah gula-gula PRU14,” ujarnya.      

Beliau berkata, harga kereta boleh diistilahkan diturunkan kalau kereta tersebut dikeluarkan dari kilang dengan spesifikasi dan aksesori yang sama dengan model sebelumnya tetapi dijual dengan harga yang lebih rendah. 

Katanya lagi, kalau sekiranya spesifikasi, aksesori serta ciri-ciri keselamatan kereta tersebut dikurangkan atau ditiadakan, itu bukannya dinamakan penurunan harga.                              

Beliau boleh percaya harga kereta akan diturunkan pada 2018 dalam satu keadaan dan situasi sahaja. 

“Kalau Pilihanraya Umum ke 14 berlangsung pada 2018, turunkan saja Umno/BN dari tampuk kuasa, bagi peluang kepada Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya, kita meyakini akan kejujuran dasar Pakatan Rakyat untuk menurunkan kos hidup rakyat antaranya dengan menurunkan harga kereta,” jelasnya. 

Dengan itu, ujar beliau tajuk berita ‘Harga kereta bakal turun 2018’ akan menjadi kenyataan.

“Susah sangat ke nak turunkan harga kereta?” soal beliau lagi.

Menurutnya, di England, Germany, USA dan lain-lain negara maju, berapa sangat harga kereta berbanding dengan purata pendapatan rakyat. 

“Bodoh sombong sangatkah kita sehingga tak boleh belajar dari orang lain yang lebih maju dalam hal ini,” katanya.


Harakahdaily

No comments: