22 Januari 2014

Mayat budak dalam tandas

20 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Dungun: Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam keadaan menyedihkan dalam tandas sebuah rumah yang belum diduduki di Taman Permint, Seri Paka Fasa Dua di sini, semalam.


Mayat kanak-kanak dipercayai berusia sekitar dua tahun itu yang masih berbaju petak berwarna biru tanpa seluar ditemui seorang pengawal keselamatan kawasan berkenaan, kira-kira jam 3.20 petang. 



Hidu bau busuk 

Pengawal terbabit menghidu bau busuk ketika berkawal di sebuah rumah yang sudah siap tetapi belum diduduki itu dan terkejut apabila menemui mayat mangsa di tandas rumah itu.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa yang lebam dan kembung, kanak-kanak itu dipercayai sudah mati antara dua ke tiga hari sebelum ditemui.

Lantai berhampiran tandas itu turut dipenuhi darah daripada mayat mangsa.
Pengawal keselamatan berkenaan melaporkan kejadian kepada majikannya, sebelum satu laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan di Balai Polis Paka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, identiti mangsa belum dapat disahkan tetapi polis daerah Dungun ada menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak beberapa hari lalu.

Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.


BH

Tiada ulasan: