22 January 2014

PAS gesa Jakim hantar peguam ke Sweden

20 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS menggesa pihak kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk segera  menghantar wakil mereka ke Sweden bagi membantu kes pasangan Malaysia yang sedang ditahan reman di sana.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu bertindak menghantar barisan peguam terbaik dari jabatan itu ke sana.


"Jakim perlu menghantar peguam terbaik mereka, yang tahu selok belok hukum hakam agama untuk memberi penjelasan kepada mahkamah di sana tentang cara hidup Islam," katanya yang juga timbalan pengerusi lajnah antarabangsa PAS Pusat.

"Perdana Menteri kita sering mendabik dada kepada dunia luar kononnya kita sebuah negara Islam maju dan progresif.

"Jadi inilah peluang untuk kerajaan buktikan apa yang dikatakan itu," tambah Ahli Parlimen Tumpat itu lagi.

Langkah kerajaan Sweden menahan Pengarah Tourism Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal, seorang guru sekolah menengah ekoran memukul tangan anak lelaki mereka kerana tidak solat menimbulkan kebimbangan seluruh rakyat negara ini.

Lebih menyulitkan keadaan, mahkamah awam Sweeden itu menyerahkan keempat-empat anak pasangan terbabit kepada penjaga sementara dari keluarga bukan beragama Islam.

Ini kerana, anak-anak pasangan itu mendakwa berasa rimas dan tidak selesa dengan kehidupan keluarga agkat yang beragama kristian itu.

Semalam media melaporkan, wakil keluarga pasangan terbabit dari Malaysia masih belum dibenar bertemu dengan mereka yang sedang ditahan.

Dalam perkembangan terbaru juga, Kedutaan Sweden Kuala Lumpur turut menolak untuk mengadakan perbincangan dengan PAS.

Dalam jawapan rasmi oleh Duta Sweden Bengt G Carlsson menjelaskan pihaknya akan bertindak sekadar memaklumkan sebarang perkembangan kes berkenaan.


Harakahdaily

No comments: