18 January 2014

Polis jemput guna SMS, SAMM tetap ke Dang Wangi

16 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Berikutan perhimpunan ambang tahun baru #RPDM31D, dua pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dipanggil hadir ke Balai Polis Dang Wangi melalui sistem pesanan ringkas (SMS).


Pengasas SAMM, che'GuBard dan Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan masing-masing telah menerima SMS tersebut dari seorang pegawai yang perkenal diri sebagai ASP Suhaimi. 
“Kedua-duanya diminta hadir ke IPD Dang Wangi jam 3 petang hari ini,” ujar Pengarah Sekretariat SAMM, Isamuddin Sanusi dalam satu kenyataan.

Menurutnya, panggilan untuk hadir ke balai melalui SMS tidak memenuhi keperluan notis 111, namun kedua-dua wakil SAMM tetap berjiwa besar untuk memberi kerjasama kepada pihak polis walaupun tidak terlibat dalam sebarang penganjuran pada himpunan malam 31 Disember lalu.

Justeru itu, katanya che'GuBard dan Edy Noor akan hadir ke IPD Dang Wangi pada 20 Januari (Isnin) jam 11 pagi. 

Sehubungan itu, beliau menjemput pihak media untuk hadir membuat liputan dan satu sidang media akan dibuat di depan IPD Dang Wangi setelah selesai urusan memberi keterangan.

“SAMM menegaskan perhimpunan anjuran rakyat pada malam tersebut juga berlangsung dengan aman, tidak seperti yang digambarkan secara melampau oleh pihak polis sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM turut bersimpati dengan pihak polis yang mengikut telunjuk regim, mengerah seberapa ramai anggota untuk berkawal sedangkan tidak berlaku huru-hara dan rakyat bijak mengawal diri. 

Kononnya, kata beliau 'tidak ada perhimpunan yang berlangsung aman' adalah kenyataan dangkal, barangkali pegawai kanan polis berkenaan tidak pernah menonton 'Youtube'.

Harakahdaily

No comments: