18 January 2014

Selangor terus bantu rakyat ketika ekonomi negara kritikal

16 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
SHAH ALAM: Selangor mampu meneruskan pelbagai program membantu rakyat seperti skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan menampung perbelanjaan penting lain jika kerajaan pusat berhadapan masalah kewangan yang semakin kritikal.


Keupayaan itu berikutan amalan pengurusan kewangan cemerlang dengan mengawal pembaziran, ketelusan dan mengelakkan budaya anti rasuah secara total yang diamalkan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata amalam itu adalah faktor utama yang membolehkan kerajaan negeri mengumpul rizab hampir RM3 bilion.

 “Ini salah satu sebab mengapa kita kena pertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Pengurusan kewangan yang baik mampu menampung kekurangan jika keadaan kewangan parah di pusat nanti dan Selangor masih boleh pertahan program membantu rakyat hasil simpanan dan harta kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri ada kemampuan untuk meneruskan pelbagai skim sedia ada bagi membantu rakyat ketika kerajaan pusat tidak mmepunyai keupayaan untuk melaksanakannya kerana tidak mempunyai kedudukan kewangan dan harta yang kukuh seperti Selangor,” katanya ketika ditemu bual Selangor Kini, di Ibu Pejabat PKR, baru-baru ini.

Katanya, rakyat negara ini termasuk di Selangor bakal terkesan dengan dasar baru yang terpaksa dilaksanakan kerajaan pusat bagi mengatasi masalah kewangan peringkat persekutuan yang semakin meruncing.

“Kuasa menetapkan kadar faedah, petrol, barangan keperluan, gaji dan banyak dasar lain semuanya ditetapkan kerajaan pusat. Kerajaan negeri lebih berkuasa seperti soal tanah dan jika masalah seperti itu berlaku, kedudukan kewangan pusat yang lemah menyebabkan kadar faedah naik serta gaji kakitangan awam turun,” katanya.

Sementara itu, kakitangan awam yang berada di bawah skim kerajaan negeri dan gaji mereka dibayar seperti peringkat sokongan dijangka terselamat daripada pemotongan gaji dan skim pemberhentian pekerja yang bakal dilaksanakan kerajaan pusat bagi mengurangkan perbelanjaan.

Sebelum ini, Rafizi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka mengambil langkah mengurangkan jumlah kakitangan awam dan memotong gaji jika gagal mengawal hutang negara terus mencecah paras 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, langkah itu diambil sebagai memenuhi syarat yang akan dikenakan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Antarabangsa jika kerajaan terpaksa mengambil pinjaman kewangan daripada salah satu bank terbabit bagi menjana semula dana kerajaan.

Pada 25 November 2013, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Parlimen menyatakan bahawa kadar hutang negara meningkat kepada RM529.6 bilion atau 53.6 peratus berbanding KDNK, sekali gus menghampiri 55 peratus had siling hutang yang dibenarkan.

Harakahdaily

No comments: