26 Januari 2014

Ustaz Harun insan istimewa buat diriku.

24 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Ustaz Harun Taib nama yang sering menjadi sebutan oleh ahli PAS. Pandangan pedas dan tegas. Saya mula mengenali ayahanda Ustaz Harun secara dekat sejak mula bertugas sebagai Pegawai di Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) pada tahun 1998. 

Rata-rata orang ramai bila disebut nama Ustaz Harun Taib seperti menikus kecuakan. Mungkin dari raut wajah dan pakaiannya kelihatan seperti seorang yang garang. Tapi itu adalah persepsi sahaja bagi siapa yang tidak mengenalinya. 

Ketika itu kebanyakan kami petugas petugas di pejabat DPPP menjadikan pejabatku rumahku. Maka sememangnya segalanya di Markaz PAS Taman Melewar. Pejabat DPPP terletak di tingkat atas manakala Pejabat Dewan Ulama Pas pula terletak tingkat bawah. Selalunya almarhum Ustaz Harun akan bermalam di pejabat DUPP setiap kali selepas mesyuarat DUPP atau Jawatankuasa Harian PAS Pusat.


Maka tiap kali almarhum tidur di pejabat maka menjadi kelaziman kami akan diajak makan tengah malam. Faiz Nawi, Fadli Ghani dan Yusapiza adalah ahli minum malam tetap bersama almarhum. Wajah garang yang sering diwar-warkan tidak langsung terbit apabila kami bersama. Banyak sangat perkara kami berkongsi tatkala keluar minum malam. 

Bila Allah beri kemenangan kepada PAS memerintah Terengganu, ayahanda Ustaz Harun dilantik menjadi Exco Pendidikan dan Dakwah Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tatkala itu saya merasakan mungkin suasana akan berubah, almaklumlah almarhum sudah menjadi Exco Kerajaan Negeri, kereta Mercedes model lama berlampu petak bertukar kepada kereta Mercedes masterpiece Exco tetapi ternyata sangkaan saya dan sahabat meleset apabila masih mendapat panggilan telefon beliau mengajak kami untuk minum malam bersamanya.

Banyak perkara kami kongsi terutama pandangan saya sebagai petugas parti terhadap kerajaan Terengganu yang almarhum sebagai salah seorang Exconya. Saya antara yang sering berkomunikasi dengannya, mungkin kerana atas sifat saya sebagai Setiausaha Politik Ketua Pemuda ketika itu.
2003 saya mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran saya ke peringkat PhD ke Manchester. Diantara pimpinan yang menghubungi saya menyokong hasrat saya adalah Ustaz Harun. Beliau juga berkata bahawa berhasrat untuk menghantar anaknya sendiri ke United Kingdom bagi menimba ilmu disana.

Setelah saya berada dibumi UK hampir 5 bulan. Tiba-tiba telefon saya berdering, terpapar nombor tidak dikenali dari Malaysia. Bila saya jawab," Assalamualaikum Raja, Harun ni." Saya pelik.. ish sapa pulak Harun ni, jawab saya, " Harun mana ni", barulah dia balas Ustaz Harun.

Malu rasanya bila tak kenal suaranya. Tapi itulah Ustaz Harun tidak pernah memperkenalkan diri dengan title Dato atau Ustaz kepada sesiapa yang dijumpainya. Panggilan telefon tadi rupanya nak memaklumkan kepada saya bahawa dia nak hantar sejumlah pelajar anak Terengganu bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Pesannya pada saya, tolong tengok-tengokkan mereka setibanya disana.

Sepanjang saya di UK, rumah saya adalah antara rumah persinggahan tetap pimpinan pimpinan PAS. Antara yang sering dan wajib singgah adalah Ustaz Harun sendiri. Nasi lemak ayam masakan isteri saya antara kegemarannya. Kambing grill antara makanan kegemarannya juga dimana saya selalu membawanya ke kedai kebab Pakistan di Cheetham Hill.

Setiap Ustaz Harun bertandang ke UK sudah pastinya kami menganjurkan program bersamanya. Jika tempohnya kehadirannya lama , maka program tamrin kita aturkan untuk dikongsi dengannya.

Saya antara yang gembira jika Ustaz Harun datang menziarahi anak-anaknya di UK. Pernah sekali Ustaz Harun meluangkan masanya selama 6 jam bermula 8 malam hingga 2 pagi ketika musim sejuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengannya.

Hanya saya dan dia tanpa gangguan dirumah anaknya di Wigan kira kira 40 minit perjalanan dari Manchester. Begitu juga ketika Ustaz Harun menziarahi anaknya di Birmingham pada musim bunga. Saya tak lepaskan peluang bertemu dengannya bagi mendapat isu terkini dan penjelasan isu semasa terutama selepas PRU12.

Selepas saya pulang ke tanah air. Antara pimpinan yang saya hubungi sudah pastinya ustaz Harun Taib. Seperti biasa, nasihat dan pandangan dihembuskan kepada telinga saya sebagai kekuatan penerus perjuangan. Selepas dipilih dalam muktamar 2009 sebagai Exco dan ditaklifkan sebagai Exco Antarabangsa DPPP.

Ustaz Harun adalah salah seorang guru antarabangsaku, Ustaz Harun antara yang disegani oleh dunia islam. Gerakan Ikhwan Mesir terutamanya memanggilnya Maulana Harun Tayyib sebagai menghormati ilmu dan kepimpinannya. Tatkala beliau ke UK, saya antara yang mengiringi beliau dalam pertemuan pertemuan dengan pihak luar.

Semasa menjadi Naib Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Harun sering menghubungi saya bagi mendapatkan penjelasan bagi beberapa tindakan saya terutama isu DAP. Begitu juga selepas muktamar baru ni, Ustaz Harun antara yang sering menasihati saya agar terus istiqamah. Kali terakhir saya bertemu ayahanda ustaz Harun ketika mesyuarat Pas Pusat bulan Januari di KUIZM dan itulah kali terakhir tangannya ku cium.

Semoga ciuman terakhirku menjadi azimat perjuanganku. Selamat jalan ayahandaku. Moga Allah tempatkan ayahanda ustaz Harun dikalangan yang terpilih. 

AL-FATIHAH

*Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dan juga Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar

Tiada ulasan: