27 January 2014

Debat Khalid-Noh tentang kalimah Allah dibatalkan

25 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Debat Sinar Harian mengenai isu kalimah Allah antara Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yang dijadualkan hari ini terpaksa dibatalkan.
Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali dilaporkan Sinar Online berkata, keputusan di saat akhir ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai sudut situasi terkini.
“Setelah meneliti pandangan dan nasihat daripada tokoh-tokoh agama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga mereka yang prihatin, kami mengambil keputusan untuk membatalkan debat ini,” katanya.

Beliau berkata, pandangan dan nasihat telah disuarakan pelbagai pihak menerusi akhbar, media sosial, e-mel dan surat-surat yang dihantar ke pejabat Sinar Harian.
“Kami memahami perasaan dan sentimen umum semasa dan justeru itu kami mengambil keputusan ini,” tegas beliau.
Sinar Harian turut memohon maaf kepada mereka yang telah bersedia untuk mengikuti wacana ini tetapi keputusan dibuat walaupun berat atas semangat keharmonian dan perpaduan.

No comments: