27 January 2014

Bagan Datoh: Keputusan bantahan awal 19 Feb

25 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan 19 Feb untuk memutuskan bantahan awal dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan peguam Edmund Bon yang mewakili calon PKR Madhi Hasan dan peguam Chong Kok Yew yang mewakili seorang pengundi Azmi Sulaiman.

Madhi dan Azmi memfailkan petisyen terhadap Ahmad Zahid yang memenangi kerusi Bagan Datoh dengan majoriti 2,108 undi dalam pilihan raya umum ke-13, memohon keputusan bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Pada 23 Dis tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya difailkan oleh dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR.

PKR memfailkan rayuan di Mahkamaha Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen pilihan raya itu. - Bernama

No comments: