27 January 2014

RON 95 dijangka naik sebelum BR1M diagih

25 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka akan menaikkan lagi harga petrol RON 95 dan diesel serta kadar tol sebelum pengagihan BR1M 3.0 kepada 7.9 juta rakyat pada pertengahan Februari 2014 ini.

“Pengurangan subsidi terhadap big ticket items iaitu seperti petrol, diesel, tol serta elektrik mampu menjana penjimatan yang besar kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, menurut anggaran Pemandu, kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel seharusnya dinaikkan sebanyak 10 sen seliter setiap 6 bulan.

Katanya, kenaikan tersebut akan disusuli dengan pelbagai langkah mitigasi untuk meringankan beban rakyat dan kerajaan akan menikmati lebih penjimatan setiap tahun. 

Bagi tol, ujarnya kenaikan akan tetap berlaku sepertimana dalam perjanjian konsesi.

Beliau menambah, beberapa signal awal telah diberikan oleh kerajaan antaranya kenyataan Perdana Menteri berhubung langkah pemberian subsidi bersasar khususnya mengenai petrol RON 95.

Menurutnya lagi, pihak Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia juga telah membuat tinjauan yang mendakwa kos pengangkutan awam akan naik antara 25 peratus hingga 30 peratus sekiranya kadar tol akan dinaikkan tidak lama lagi.

Walaubagaimanapun, ujar beliau ia bergantung kepada tahap pengawalan defisit dan hutang kerajaan.

“Cuma apa yang dibimbangkan ialah peningkatan hasil yang diperoleh oleh kerajaan tidak disalurkan secara tepat bagi memulihkan kewangan awam,” katanya.

Contohnya, kata beliau Laporan Ekonomi 2013/2014 menunjukkan kerajaan mempunyai peningkatan perolehan hasil, namun lebihan tersebut tidak digunakan secara efisyen untuk mengurangkan beban hutang, sebaliknya menambah perbelanjaan mengurus kerajaan.

Tambah beliau, biasanya ramai yang menelah, strategi dan pendekatan kerajaan adalah 3+2 atau 4+1.

Beliau berkata, tiga tahun selepas pilihanraya umum diadakan adalah tempoh terbaik untuk mendapat pulangan daripada menekan rakyat, manakala dua tahun selepas itu adalah tempoh memujuk serta membeli undi rakyat.

“Jika kenaikan ini berlaku, maka terbukti bahawa kerajaan melakukan pengkhianatan terhadap segala janji yang ditaburkan. Diharap rakyat tidak mudah lupa dan bingkas menuntut keadilan,” ujarnya.

No comments: