14 Februari 2014

TYT Sarawak: Mohon Raja-Raja Melayu tidak lantik Taib

14 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemuda PAS Anak Sarawak memohon Raja-Raja Melayu untuk memperkenankan permohonan agar mempertimbangkan untuk tidak melantik Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak sehingga dibersihkan dari segala tuduhan rasuah dan salah guna kuasa seperti yang telah pihak patik kemukakan.

Demikian dinyatakan Pengerusinya, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam Memorandum  Berkenaan Perlantikan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang diserahkan kepada Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, pagi tadi. Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Berikut kandungan memorandum berkenaan.

Adalah patik yang mewakili sayap Pemuda dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) serta rakyat jelata merafak sembah Ke Bawah Duli Tuanku bagi memaklumkan berkaitan perkembangan politik di Sarawak khususnya melibatkan perletakan jawatan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dari jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014 yang akan datang. Dalam masa yang sama, tempoh perjawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak turut akan berakhir pada tarikh tersebut.

Perkara ini memungkinkan jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak boleh diisi oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sepertimana khabar angin yang sedang kencang melanda rakyat Bumi Kenyalang tersebut dan amnya seluruh rakyat Malaysia.

Ampun Tuanku,
Berdasarkan kepada rekod kes yang melibatkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sepanjang lebih 30 tahun memimpin Sarawak, beliau telah dikaitkan dengan berbagai-bagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Justeru, bersama-sama ini patik dengan penuh rendah diri memohon perkenan dan limpah kurnia Ke Bawah Duli Tuanku untuk mempersembahkan isu-isu berkaitan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerusi helaian lampiran yang disertakan untuk pertimbangan pihak Tuanku.

Ampun Tuanku,
Berdasarkan lampiran yang dipersembahkan, patik memohon limpah kurnia Ke Bawah Duli Tuanku untuk memperkenankan permohonan agar mempertimbangkan untuk tidak melantik Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak sehingga beliau dibersihkan dari segala tuduhan rasuah dan salah guna kuasa seperti yang telah pihak patik kemukakan.

Ampun Tuanku,
Mohon cadangan patik diperkenankan.

Tiada ulasan: