14 February 2014

Jambatan kedua P Pinang dijangka dibuka 1 Mac

14 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion dijangka dibuka kepada umum 1 Mac ini.
    
"Kami diberitahu jangkaannya jambatan akan dibuka pada 1 Mac," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada pemberita di George Town hari ini, apabila ditanya mengenai tarikh jambatan itu akan beroperasi.
    
Apabila beroperasi kelak, jambatan yang merupakan projek kerajaan persekutuan itu akan mengurangkan kesesakan trafik di atas Jambatan Pulau Pinang sebanyak 25 peratus dan bakal mengendalikan 100,000 kenderaan setiap hari.
 
Jambatan sepanjang 24 kilometer dengan 16.9 km di atas air itu menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar dan merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara.
    
Pada 30 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin negara yang pertama menggunakan jambatan itu untuk menghadiri majlis di Kepala Batas, Seberang Perai.
    
Jambatan itu dijadualkan siap pada 8 November lepas dan dibuka kepada umum pada hujung bulan berkenaan. Namun tarikh pembukaan rasmi ditangguh dan dilapor akan dibuka hari ini (14 Februari).
    
- Bernama

No comments: