22 February 2014

6 remaja lemas: Pemuda PAS ucap takziah

22 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ekoran kejadian enam orang remaja lemas di Sungai Muar berdekatan Buluh Kasap Segamat Johor, Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga anak-anak yang terkorban. Kemalangan ini berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir yang menyebabkan dasar sungai menjadi dalam. Biasanya kedalamannya melebihi 20 kaki.

Dalam kenyataan medianya, ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat mendesak langkah-langkah keselamatan dibuat bagi memastikan kawasan tersebut tidak meragut nyawa lagi.

“Saya pernah membawa isu ini ke Majlis Daerah Kluang, dua tahun lalu berikutan kematian seorang kanak-kanak di Sungai Sayong, Layang-layang Johor. Saya pernah mendesak agar langkah-langkah keselamatan perlu di buat untuk mempastikan kawasan projek pengorekan pasir tidak menyebabkan keselamatan anak-anak terjejas.”

“Sungai Sayong Layang-layang Johor telah mengorbankan tiga nyawa kanak-kanak. Hari ini sungai Muar telah mengorban tiga orang lagi manakala lima orang lagi masih hilang. Kita sangat khuatir pada masa akan datang kawasan pengorekan pasir akan mengorbankan lebih banyak nyawa lagi.”

“Setakat ini saya tidak berpuas hati dengan jaminan keselamatan anak-anak di kawasan projek. Saya rasa emosi anak-anak remaja ini terganggu apabila kawasan permainan harian mereka dikacau ganggu oleh projek yang sudah tentunya menguntungkan pihak-pihak tertentu.” Ulas Suhaizan.

Peristiwa di Sungai Muar ini membuktikan bahawa kawasan pengorekan pasir berdekatan kawasan penduduk sangat tidak sesuai. Pemuda PAS Malaysia mendesak kepada pihak Kerajaan agar menghentikan semua projek pengorekan pasir dalam radius 5km daripada penempatan penduduk sehingga satu siasatan berkenaan keselamatan penduduk dibuat.

Pemuda PAS mendesak agar langkah-langkah keselamatan perlu dibuat secara terperinci sebelum kelulusan kawasan pengorekan pasir dibuat.

Harakahdaily

No comments: