22 Februari 2014

Timbalan Menteri akui PBS susah

22 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Jika Timbalan Menteri Pendidikan, YB P Kamalanathan juga mengeluh untuk mengisi data seorang murid dalam sistem penilaian pelajar, bagaimana pula dengan keadaan guru-guru yang mempunyai kira-kira lebih 80 pelajar untuk tugasan tersebut?

Demikian ulas Nasrudin Hasan, Ahli Parlimen Temerloh merangkap AJK PAS Pusat. Ulasan beliau merujuk kepada berita dalam yang disiarkan dalam The Star Online semalam. 
Kamalanathan mencuba sendiri sistem tersebut ketika kunjungannya ke beberapa buah sekolah di kajang semalam. Beliau mengambil masa lebih dua minit untuk memasukkan data seorang pelajar ke dalam sistem. 


“Walaubagaimanapun, saya memberi pujian terhadap usahanya dalam memahami keluhan para guru dalam menggunakan sistem ini.”

“Saya melihat antara masalah utama yang dihadapi oleh para guru hari ini adalah mengurus hal ehwal pentadbiran kerana terlalu banyak sistem offline dan online yang perlu dilakukan. Ini tidak termasuk dengan pelbagai aktiviti bersama para pelajar, dikalangan guru dan ibu bapa.”

“Oleh yang demikian, bebanan pengurusan ini membantutkan fokus utama mereka dalam mendidik para pelajar bukan hanya dalam aspek kurikulum, tetapi aspek kokurikulum dan juga syakhsiyah mereka. Ini tugasan utama para guru. Jika fokus utama ini terjejas, maka dibimbangi hasil yang diinginkan untuk melahirkan para pelajar sepertimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara tidak tercapai.” Ujar Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Nasrudin juga menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengambil serius bantahan daripada guru-guru khususnya daripada kumpulan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dan Parent Action Group for Education (PAGE). Beliau juga mahukan agar sistem ini ditangguhkan dulu untuk dilakukan sama ada dilakukan secara online atau manual. Selepas kata sepakat diperoleh antara semua pihak mengenai beberapa perkara asas, barulah diimplementasi sistem berkenaan.

Harakahdaily

Tiada ulasan: