21 February 2014

Ribuan himpun di Perak bantah Kassim Ahmad

21 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
IPOH: Ribuan Umat Islam hari ini berkumpul selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negeri, Ipoh bagi mengutuk kebiadaban tokoh anti hadis, Kassim Ahmad.

Himpunan yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Perak itu dihadiri oleh beberapa pimpinan PAS termasuklah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Ketua Penerangan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa dan Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Ianya turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Insan Malaysia (Abim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam selaras dengan agama rasmi, maka kesucian agama Islam wajib dijaga oleh seluruh umat terutama pemerintah.

Tegas beliau, sebarang tindakan sama ada perkataan atau perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam wajib diambil tindakan sewajarnya.


"Kenyataan Kassim Ahmad sebagai ilmuan sesat yang diketahui umum wajib diambil tindakan kerana disamping merosakkan aqidah dirinya, ia juga boleh mempengaruhi dan merosakkan aqidah masyarakat umat Islam ini di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh berdiam diri walaupun beliau (Kassim Ahmad) adalah ahli Umno," tegasnya kepada hadirin dan disambut dengan laungan Allahu akbar.

Beliau mempersoalkan dimana badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno yang sebelum ini lantang mahu menjadi hero mempertahankan Islam namun dalam hal ini senyap membisu apabila ianya membabitkan kepimpinan Umno.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mempertahankan Kassim Ahmad.

Mahathir juga katanya bertindak biadap mendakwa para ulamak tidak dapat menjawab segala hujah daripada Kassim.

"Hujah dan dakwaan yang dikekumakakan oleh beliau (Kassim) pelajar PASTI pun boleh jawab.

"Dakwaan Mahathir yang mengatakan ulamak tidak dapat menjawab hujah Kassim adalah satu pembohongan yang besar," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kesal pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan kepada Kassim Ahmad yang ketika ini bebas bermaharaja lela menyebarkan dakyahnya.

Beliau hairan kenapa Kassim Ahmad tidak berani 'disentuh' oleh mana-mana pihak sedangkan terang-terangan menghina Islam dan Rasulullah.

"Apabila ada pihak didakwa menghina pemimpin kerajaan, laju sahaja mereka diambil tindakan tetapi Rasulullah dan Islam dihina tiada sebarang tindakan diambil. Inilah yang berlaku di negara kita,"tegasnya.

Dalam nada yang sama, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa menyeru seluruh umat Islam bersatu mempertahankan kesucian agama Islam dan Rasulullah daripada dihina daripada mana-mana pihak termasuklah golongan anti hadis.

Kata beliau, tindakan beberapa pimpinan Umno mempertahankan Kassim sangat dikesali dan membuktikan Umno menyokong fahaman yang dibawa oleh Kassim.

"Ramai para ustaz dan ulama yang pulang daripada belajar agama di luar negara ditahan oleh sebab tiada tauliah, tetapi Kassim bebas berbicara tentang agama sedangkan tiada langsung asas ilmu agama,"jelasnya lagi.


Harakahdaily

No comments: