21 February 2014

Bahan polisterin penyebab kanser

21 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
SHAH ALAM: Inisiatif pembekalan bekas makanan dan minuman oleh Bahagian Sistem Kualiti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada 1,030 warga kerja diharap dapat mengurangkan penggunaan bekas polisterin di pejabat.

Pengurus Sistem Kualiti, Julina Ibrahim, berkata, langkah yang diperkenalkan sempena Program Kualiti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (QSHE) menunjukkan komitmen PKNS terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai tanda sokongan tidak menggunakan plastik.


Ia juga bagi memberi kesedaran kepada warga kerja PKNS mengenai bahaya penggunaan bekas pembungkus makanan polisterin kepada kesihatan diri.

“Selaras dengan piawaian di PKNS iaitu MS ISO 14001 : 2004, Pengurusan Alam Sekitar dan BS OHSAS 18001 : 2007, Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, dalam usaha mendidik warga kerja PKNS mengenai bahaya penggunaan plastik dan polisterin dalam kehidupan seharian kita.

“Mengikut kajian, Agensi Penyelidikan Kanser Antrabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser kepada manusia,” katanya lagi.

Penolong Jurutera, Norhazwani Zulkepli, 28, berkata, langkah yang diambil oleh PKNS bagi mengurangkan penggunaan bekas polisterin adalah wajar kerana ia bukan sahaja mampu menyelamatkan bumi malah ia juga mampu melindungi diri dari bahaya polisterin ke atas kesihatan diri.

“Umum sedia maklum mengenai bahaya penggunaan polisterin ke atas kesihatan manusia kerana bahan-bahan kimia yang terdapat pada bekas ini akan menyerap ke dalam makanan dan kemudian masuk ke tubuh kita.

“Melalui pemberian bekas makanan dan minuman yang dilakukan oleh PKNS ia mampu membendung masalah ini untuk terus berlaku,” katanya.

Penolong Juru Ukur Bahan, Abdul Rani Rahman, 54, berkata, masyarakat di Malaysia sudah lama terdedah dengan penggunaan polisterin, melalui pendekatan yang dilakukan oleh PKNS ia dapat memberi kesedaran kepada warga kerja PKNS khususnya mengenai pentingnya memelihara alam sekitar.

“Polisterin mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan alam sekitar kerana ia sukar terurai, malah ia mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk dimusnahkan secara semula jadi.

“Pemberian bekas makanan dan minuman secara percuma oleh PKNS kepada warga kerja adalah langkah yang murni untuk menggalakkan pengurangan penggunaan bahan bahaya seperti polisterin kepada kaedah pembungkusan makanan yang lebih mesra alam,” katanya yang sudah berkhidmat di PKNS selama 34 tahun.

Sementara itu, Julina berharap agar inisiatif berkenaan berjaya dan mampu memberi kesedaran kepada warga PKNS agar dapat mengurangkan penggunaan polisterin di pejabat. 

- Bernama

No comments: