21 Februari 2014

PRK Kajang medan protes rakyat kepada BN

21 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang adalah medan yang sangat penting untuk rakyat menzahirkan kemarahan serta kekecewaan mereka terhadap BN yang gagal memimpin negara dengan baik.

Pengarah Jabatan Pilihanrayanya, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, rakyat ketika ini sedang dibebankan dengan peningkatan kos kehidupan seharian setelah kerajaan menaikkan harga minyak petrol, gula, tarif elektrik dan sebagainya.


Menurutnya, platfrom PRK Kajang ini perlu dijadikan medan protes rakyat terhadap kerajaan yang tidak prihatin dengan masalah dan kesensaraan yang dihadapi oleh rakyat di semua peringkat di negara ini.

"Walaupun keputusan di Kajang nanti tidak memberi kesan dan perubahan struktur kerajaan secara total, namun ia adalah cerminan kepada imej kepimpinan yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di mata rakyat.

"PRK Kajang ketika ini menjadi perhatian dan penilaian pelbagai pihak sama ada dari dalam dan luar negara oleh kerana ianya memberi impak baru kepada landskap politik di negara ini terutama di negeri Selangor," katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu beliau yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak seluruh pengundi di Dun tersebut untuk menghukum kerajaan melalui kertas undi bagi memberi isyarat kepada kerajaan BN yang gagal membela nasib rakyat khususnya pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Pengundi di Dun Kajang, kata beliau memegang amanah rakyat Malaysia untuk menzahirkan ketidakpuashatian terhadap BN dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat.

Harakahdaily

Tiada ulasan: