PUTRAJAYA - Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 kini berada pada tahap menerima kenyataan mengenai insiden itu dengan bersyarat, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Abdul Jalil Hassan.
Beliau berkata apa yang dimaksudkan dengan penerimaan bersyarat itu ialah pada situasi sekarang anggota keluarga hanya dapat menerima kenyataan perkembangan terbaru insiden itu jika terdapat bukti berkaitan.
"Bagaimanapun terdapat juga anggota keluarga yang boleh menerima anggota perkembangan dengan hati terbuka," katanya kepada pemberita di Hotel Everly di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya berhadapan dengan keluarga penumpang pada hari ke-18 semakin mudah kerana pihaknya telah mendekati mereka sejak hari pertama kejadian.
Beliau berkata mereka yang dapat menerima sebarang perkembangan dengan hati terbuka dapat menangani serta menerima hakikat dengan cepat berbanding dengan penerimaan secara bersyarat.
Tambahnya kaedah kaunseling kepada keluarga yang menghadapi apa jua krisis atau insiden juga kebiasaannya terbahagi kepada dua cara iaitu emosi dan kognitif.
Abdul Jalil berkata kebiasaannya penyampaian secara emosi banyak digunakan untuk mereka yang berpendidikan sederhana manakala kognitif iaitu bersertakan bukti untuk yang berpendidikan tinggi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan