28 Mac 2014

Malaysia perlu bersikap jelas terhadap Mesir - Mapim

26 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendirian adalah menjadi suatu tindakan yang munasabah untuk Malaysia mengambil sikap yang jelas apabila sebuah negara melaksanakan sistem politik diktator yang menzalimi rakyatnya sendiri. 

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah Mesir kepada 529 rakyatnya adalah prisiden pertama seumpamanya dalam sejarah moden negara itu hatta dunia seluruhnya.


“Malaysia harus mengambil pendirian yang berprinsip ke atas apa yang berlaku di Mesir. Ia harus berani menunjukkan contoh tidak berkompromi dengan kezaliman di mana sahaja ia berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Malaysia menggantung hubungan dengan Mesir sehingga keadaan di Mesir kembali stabil setelah mahkamah negara itu menjatuhkan hukuman mati kepada 529 orang awam secara paling luar biasa dan tidak mengikut proses undang-undang yang wajar.

Kami berpendirian adalah menjadi suatu tindakan yang munasabah untuk Malaysia mengambil sikap yang jelas apabila sebuah negara melaksanakan sistem politik diktator yang menzalimi rakyatnya sendiri. Hukuman mati massa ini adalah prisiden pertama seumpamanya dalam sejarah moden Mesir hatta dunia seluruhnya.

Malaysia harus mengambil pendirian yang berprinsip ke atas apa yang berlaku di Mesir. Ia harus berani menunjukkan contoh tidak berkompromi dengan kezaliman di mana sahaja berlaku.

Kami juga meminta supaya Malaysia mengambil inisiatif mengusulkan kepada PBB dan OIC supaya tindakan diambil ke atas Mesir yang sehingga sekarang tidak menunjukkan tanda negara itu akan keluar dari pemerintahan ketenteraan.

Pengumuman Jeneral Fatah El-Sisi meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Tentera Mesir untuk menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya Presiden jelas membuktikan sememangnya wujud konspirasi untuk mengekalkan pemerintahan tentera di Mesir telah dirancang sejak awal revolusi 2011 tercetus.

Keputusan mahkamah itu yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah moden di seluruh dunia bukan sahaja perlu dikecam malah pelaksanaan  hukuman mati itu mesti ditolak.

Ini adalah petanda negara Mesir telah menjunam menjadi negara tidak bertamadun di mana seorang diktator berlagak Firaun dinobatkan dan ia diberi kuasa mutlak melakukan sekehendak hatinya untuk menindas sesiapa sahaja yang ia mahu.

Kami kesal Speaker Parlimen Malaysia kelmarin telah menolak usul Ahli Parlimen Tumpat supaya isu keputusan hukuman mati itu dibahaskan, atas alasan ia tidak perlu disegerakan dan pertimbangan bahawa ia adalah isu perundangan dalam negara Mesir.

Sesungguhnya alasan ini sangat lemah. Sedangkan suara dari PBB sendiri telah melihat hukuman itu adalah melampau proses undang-undang yang biasa dan tidak memenuhi kualifikasi proses perbicaraan yang boleh diterima oleh komuniti antarabangsa.

Kami menggesa supaya usul itu dibahaskan dan satu pendirian yang tegas dikeluarkan dari Parlimen Malaysia agar keputusan mahkamah itu dibatalkan.

Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia, Mesir adalah negara  Timur Tengah yang penting. Penentangan rakyat akibat pemerintahan tentera yang diktator  akan menjadikan Mesir satu lagi negara yang akan musnah seperti Syria dan Iraq.

Mesir akan terus bergolak jika regim tentera  dibiar berlaku zalim kepada rakyatnya sendiri. Tindakan  tentera yang mengguna semua aparatus kerajaan termasuk mahkamah untuk melakukan kezaliman tidak boleh diterima sebagai rakan dalam hubungan diplomatik antarabangsa.

Seperti yang dialami rakyat Syria, kini rakyat Mesir berhadapan dengan regim Fatah El-Sisi yang ghairah untuk merebut kuasa.

Sebagai negara OIC yang penting, tindakan regim tentera Mesir yang melanggar hak asasi manusia dan kembali kepada zaman pemerintah diktator, menyebabkan Malaysia perlu mengkaji  semula hubungannya dengan Mesir.

Implikasi hukuman mati massa ini pasti akan mewujudkan ketegangan berpanjangan di Mesir dan akan merebak ke seluruh negara Arab yang lain.

Harakahdaily

Tiada ulasan: