28 Mac 2014

Terus berdoa agar MH370 selamat – Presiden PAS

26 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
JERAI: Seluruh masyarakat diseru terus mendoakan keselamatan para penumpang dan kru kapal terbang MH370 yang didakwa hilang di Lautan Hindi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaruh harapan agar seluruh penumpang dan kru MH370 masih berada dalam keadaan selamat serta kembali semula.

Ini Kerana katanya, maklumat yang disahkan sehingga kini adalah kapal terbang tersebut dirampas.

Pun begitu ujar beliau, seandainya mereka ditemui meninggal dunia, ahli keluarga diminta bersabar dan reda kerana akan beroleh syafaat dari mereka itu di akhirat kelak.

“Seandainya mereka mati dalam keadaan begitu, kita berdoa Allah mengampunkan mereka kerana menerima kematian luar biasa dari orang lain.

“Dalam Islam, mati sebegitu dikira syahid akhirat, dengan syarat keluarganya mesti sabar. Jika keluarganya sabar, orang yang syahid akhirat ini dapat memberi syafaat kepada keluarganya di akhirat kelak. Keluarga kena reda menerima,” nasihatnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ijtimak Ulama PAS Negeri Kedah di Padang Lumat, kelmarin.

Katanya, atas perikemanusiaan, segala teknologi dan aset canggih yang ada seluruh dunia mesti dimanfaatkan untuk mencari kapal terbang tersebut.

Jelasnya juga, kerajaan bertanggung jawab untuk terus membantu keluarga serta meneruskan usaha pencarian.

Turut serta pada ijtimak tersebut ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh dan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Harakahdaily

Tiada ulasan: