28 Mac 2014

Sedia hantar pakar ke Perth, 300 objek terapung dikesan

26 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 diperhebat dengan Malaysia bersedia menghantar pasukan yang terdiri daripada pakar ke Perth, Australia bagi membantu mengesan lokasi pesawat itu di selatan Lautan Hindi.
   
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pasukan itu akan bekerja rapat dengan Pusat Koordinasi Penyelamat Australia untuk membantu operasi pencarian.

Beliau berkata pasukan itu terdiri daripada Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia Airlines (MAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
    
Perkembangan terkini berkaitan pencarian MH370 dimaklumkan kepada media menerusi satu kenyataan berikutan tiada taklimat semalam.
    
Hishammuddin berkata pencarian MH370 yang memasuki hari ke-20, melibatkan sembilan kapal terbang dan enam kapal di selatan Lautan Hindi ditangguh pada 11.40 pagi kerana cuaca buruk. 
    
Beliau berkata kawasan carian yang dirancang adalah seluas 22,804 batu nautika persegi di sektor barat dan timur lautan itu.
    
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan satelit Thailand mengesan 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,700 kilometer di barat daya Perth.
    
Menurut AFP, objek berkenaan dikenal pasti oleh Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo-Informasi Thailand.
    
Thailand adalah negara kelima yang mengeluarkan imej satelit objek terapung di kawasan sama selepas Australia, Perancis, United Kingdom dan China. 
    
Kelmarin, imej baharu satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mungkin ada kaitan dengan MH370 kira-kira 2,557 kilometer dari Perth. 
    
Pegawai-Pegawai Malaysia menemui Duta China ke Malaysia, Huang Huikang untuk meminta Kerajaan China untuk melibatkan diri dan memperjelaskan keadaan sebenar terutama kepada keluarga yang terlibat dan orang awam secara umum, kata Hishammuddin.
    
Warganegara China merupakan 154 daripada 227 penumpang pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang daripada skrin radar setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dalam penerbangan ke Beijing.
    
Satu pencarian melibatkan pelbagai negara telah dilaksanakan, pertama di Laut China Selatan dan kemudian di satu kawasan luas meliputi daratan dan lautan di barat Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu didapati telah berubah haluan jauh dari laluan asalnya.
    
Susulan analisis yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma satelit dari United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) membuat rumusan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth.
    
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". 

Bernama

Tiada ulasan: