04 Mac 2014

Sultan Kelantan mahu lebuh raya KB-KK dibina segera

2 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -

KOTA BHARU: “Beta tidak mahu isu ini terus dijadikan bahan percaturan yang menanggung beban kesusahan adalah rakyat,” titah Sultan Muhammad V.

Oleh itu baginda berharap projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat disiapkan demi kepentingan rakyat.

Titah baginda masing-masing pihak hendaklah memperlihatkan keikhlasan serta rasa tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan projek tersebut.

Bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dun Kelantan ke-13 hari ini baginda turut berharap projek jalan persisiran pantai dan projek-projek infrastruktur lain hendaklah dilaksanakan segera.

“Beta difahamkan Kelantan diberi peruntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah rolling plan ketiga RMK-10.

“Diharap juga kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek tebatan banjir di Sungai Golok untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah kepentingan rakyat hendaklah diutamakan dengan meminggirkan kepentingan lain.

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dirancang kerajaan pusat sejak Rancangan Malaysia Kelima, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

Berikutan itu kerajaan negeri merancang membina sendiri lebuh raya berkenaan sejauh 68 km melalui dana wakaf.

Kerajaan negeri mengeluarkan tender bagi membina pakej Machang-Kuala Krai bermula 15 Febuari lalu.

Tahun lepas kerajaan pusat turut mengeluarkan tender bagi membina pakej Kota Bharu-Kadok sejauh 7 km membabitkan kos hampir RM170 juta.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: