01 April 2014

Allahyarham Ustaz Ismail Noh korban kerusi demi parti

30 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KOTA BHARU: Pemergian bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ismail Noh ke rahmatullah awal pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PAS Pasir Mas bahkan juga kepada PAS Negeri Kelantan sendiri. 

Ini kerana beliau yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, adalah salah seorang ulama yang dikenali dengan kepetahan hujahnya serta ketinggian ilmu yang sukar ditandingi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Allahyarham yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan dikenali di kalangan anak-anak muda sebagai seorang murabbi yang tidak putus-putus menekankan aspek tarbiah dan pengorbanan sebagai faktor penting untuk mencapai kejayaan di dalam perjuangan.

“Allahyarham sebelum bertanding di dalam pilihanraya merupakan Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Yayasan Islam Kelantan. Beliau banyak turun ke sekolah-sekolah untuk berjumpa guru-guru dan pelajar membuat tinjauan dan menyampaikan ceramah. 

"Tidak hairan di kalangan pimpinan negeri pada hari ini yang pernah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan pernah mengenali beliau sebagai seorang yang sangat berjasa di dalam bidang pendidikan khususnya di negeri Kelantan.”

Allahyarham pernah menewaskan bekas Pengasas Perkasa Dato Ibrahim Ali sebanyak dua kali pilihanraya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004. 

Namun, pada 2008 beliau akur keputusan parti menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi Ibrahim yang ketika itu bertanding atas tiket PAS.

Ketika itu, beliau sendiri mengepalai perarakan calon mengiringi Ibrahim untuk penamaan calon.

"Inilah sejarah kepatuhan beliau kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang sangat bersejarah di Pasir Mas,” kata Fahdli lagi yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

Ismail Noh meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II awal pagi ini akibat serangan strok semenjak tahun 2009. 

Allahyarham dimasukkan di hospital tersebut dua minggu lepas selepas tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas. 

Jenazahnya dijangka dikebumikan berhampiran rumahnya petang ini.

“Pemuda PAS Kelantan merakamkan takziah setinggi-tingginya kepada keluarga Allahyarham dan semoga beliau dimasukkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh, Insya-Allah,” ujar Fadhli.

Harakahdaily

No comments: