Cerita semasa belajar di Guangzhou, China dari tahun 1998 hingga tahun 2000. Ada beberapa kenangan menarik semasa berada di China. Sekitar seminggu berada di Kolej Bahasa Mandarin Jinan Universiti Guangzhou saya mengambil keputusan memberanikan diri untuk keluar ke pusat membeli belah Jusco . Sebelum itu pada hari kedua sampai di Guangzhou, saya dibawa oleh Isteri pegawai Konsul Malaysia Guangzhou membeli barangan elektrik untuk keperluan masak di dalam bilik asrama kolej.
Dalam keadaan saya baru menguasai beberapat patah perkataan dalam bahasa mandarin , saya gagahkan diri dan pergi dengan mengambil sedikit panduan dari teman yang sama kuliah. Nasib baik bas yang dinaiki tepat sampai dihadapan Jusco tersebut.
Selepas membeli sedikit keperluan saya keluar dari tempat itu dan menunggu bas agak lama . Selepas itu saya mengambil keputusan untuk balik menggunakan motosikal tambang semacam ojek di Indonesia yang banyak pada masa itu. Pada masa sekarang tidak lagi kelihatam motosikal didalam bandar Guangzhou kerana telah dilarang pengunaannya dalam bandar Guangzhou selepas tahun 2008. Lucunya kerana saya baru sedikit menguasai Bahasa Mandarin disitu timbul masalah komunikasi seperti pepatah "seperti itek dengan ayam ". Mujurlah selepas beberapa kali dia mendengar ke mana saya mahu pergi lalu dibawanya ke tempat yang dia faham dan kebetulan itulah Kolej tempat saya belajar. Alhamdulillah cubaan pertama saya berjaya .
Bayangkan kalau ketempat lain saya dibawa oleh motosikal itu tentu besar masalahnya . Kerana itu saya mengambil iktibar dari apa yang pernah saya alami dengan memastikan setiap rakan dan tamu yang ikut bersama rombongan ke China mendapatkan kad alamat hotel penginapan semasa pertama mendaftar yang disediakan di meja pendaftatan. Tujuannya ialah kad itulah sebagai panduan untuk balik ke hotel kalau ada masalah komunikasi dengan teksi dan sebagainya.
Apa yang belaku kepada saya pada masa itu ialah saya tidak membawa apa-apa kertas dan kad yang tertulis alamat kolej tempat saya belajar. Pengalaman pertama ini menjadi pengajaran yang sangat berguna.
Selepas tamat pengajian pernah satu rombongan yang saya bawa sekitar 40 orang ke China pada tahun 2006. Seperti biasa dalam taklimat awal saya tegaskan peserta yang lewat akan ditinggal dan mereka kena balik sendiri ke hotel berdasarkan kad alamat hotel yang diberikan. Ternyata dalam tempoh yang diberikan untuk kembali ke bas bagi menuju destinasi lawatan yang lain dan ditambah lagi sedikit masa yang sesuai akhirnya 2 orang terpaksa ditinggalkan dan mereka balik sendiri ke hotel dengan kad hotel yang mereka ada.
Belajar di Guangzhou selama 2 tahun memberi peluang kepada saya untuk banyak belajar dan memahami perangai dan tabiat masyarakat Cina yang berada di negara asalnya. Bagi saya orang Cina yang berada di negara asalnya berlainan dengan tabiat dan sikap orang cina yang berada di luar termasuklah di negara kita Malaysia. Apa lagi saya belajar dalam bidang Bahasa dan Budaya Cina. Apa yang saya pelajari dan pergaulan dengan masyarakat di sana banyak membentuk sikap dan pandangan saya selepas itu.
Saya melihat orang Cina di negara China memiliki semangat menghormati tamu yang datang kenegaranya . Setiap kali kita katakan kita adalah berketurunan Cina dan dari Malaysia dia cepat menyambutnya dengan kelimat antararanya katanya "hui jia" bermaksud "balik kampung" dan cepat-cepat dia bertanya keluarga berasal dari wilayah mana. Disebabkan saya berketurunan Hokkien saya katakan keluarga kami berasal dari Wilayah Fujian. .
Bila kita katakan "Wo Shi Hua Ren...Saya orang Cina" dia sangat menghormati pengakuan itu dan cepat-cepat dia bertanya "nenek moyang kamu dari wilayah mana ?". Rasanya tidak ada pun orang yang bukan berbangsanya mengaku dia berbangsa dari selain bangsanya kalau dia masih siuman. Dari mana kita dilahirkan itulah bangsa kita yang sebenarnya, tidak boleh ditukar ganti kerana itu adalah anugerah dari Allah SWT.
Keadaan sebaliknya berlaku di negara kita sendiri bila saya menemui orang Cina Malaysia. Ada juga saya bertemu dengan mereka semasa di China , Kebanyakannya bila saya katakan saya orang Cina, air muka mereka berubah dan ada yang ketawa semacam mempersendakan saya . Dia sangat curiga dan sangat sangsi dengan pengakuan saya itu.
Setiap kali saya berhadapan dengan orang Cina Malaysia dan bila mengatakan saya juga sebangsa dengannya lalu dia nampak kehairanan. Antara yang keluar dari mulutnya "Betul ke kamu Cina kamu Melayu kan"...."kenapa kamu nampak macam Melayu ? ". Selepas mereka saya sekolahkan akhirnya mereka menerimanya walaupun kelihatan pahit untuk di terima.
Kekadang dia lebih kendur dan cepat percaya kalau saya katakan saya Cina Kelantan kerana umumnya mengetahui Cina Kelantan wajahnya lebih mirip kepada Melayu.
Keadaan seperti ini tidak pernah belaku bila saya pertama kali bertemu dengan siapa pun warga Cina di China. Bila kita mengatakan kita berbangsa Cina mereka menyambutnya dengan kegembiraan dan menghormati pengakuan itu.
Sebab itu bila terkenang semasa sebelum memeluk Islam, Saya mengambil keputusan untuk mengekalkan bangsa Cina didalam catatan Jabatan Pendaftaran Negara . Seperti yang saya nyatakan berulang kali bahawa bangsa tidak boleh ditukar, dan saya hanya masuk Islam dan bukannya masuk Melayu. Walaupun saya diberi peluang pada masa itu, saya menolaknya dengan baik dihadapan pegawai berkenaan.
Pernah sekali semasa saya menumpang minum semeja dengan seorang Cina yang bersendirian minum di Hentian R&R Sungai Perak lalu semasa perbualan awal saya bertanyakan dalan Bahasa Manderin lalu dijawabnya dalam Bahasa Melayu...bila saya kata kepadanya bahawa saya juga Cina dia ketawakan saya dan saya mula mengeluarkan kata-kata nasihat yang tidak dapat dia jawab iaitu..."kalau saya Melayu tidak mungkin saya boleh mengaku Cina dan kerana saya telah mengaku Cina bukan kah itu bagus untuk kamu dan bertambah seorang lagi orang Cina dan boleh saya diberi sedikit upah ?" sambil saya menghulurkan tangan minta wang upah mengaku Cina darinya.
Dia terkejut dengan kata-kata saya tadi dan saya ulanginya beberapa kali takut dia tidak faham. Barulah akhirnya dia mengakui saya Cina walaupun nampàk pada mukanya tidak terlalu ceria.
Kata saya lagi.."Mana ada orang nak mengaku Cina kalau dia bangsa lain. Dan mana orang Cina yang nak mengaku bangsa lain. Kita dilahirkan dengan ayah dan ibu sendiri dan itulah bangsa kita walaupun dimana kita berada.".
Saya "berceramah" lagi padanya.."Sebenarnya saya lebih selesa di negeri Cina dengan mereka lebih menghormati pengakuan kita adalah Cina. Selepas itu baru lah dia bertanya "nenek moyang kamu dari wilayah mana?..saya jawab, Fujian dan kami bercakap 'minang hua' (Dailek Hokkien).
Satu kejadian di Macau pada tahun 2007 saya bertemu dengan seorang pengusaha Cina Malaysia dalam perjalanan balik ke Malaysia. Saya nampaknya diketawakan dan dicurigai bila saya mengaku Cina . Akibatnya saya berceramah kepadanya. Akhirnya kami bertukar nombor talipon dan berhubung semula sesudah itu.
Sebab itulah sikap mencurigai bangsa lain bagi saya melambatkan kemajuan sebuah negara. Dan ini berlaku di negara kita, adakah Cina atau Melayu atau India sebenarnya sekian lama mereka ditanam dengan semangat membenci bangsa lain oleh sekelompok mereka yang tidak bertanggung jawab.
Apa lagi sikap "rasis' atau perkauman sangat bahaya bagi sebuah masyarakat dan negara. Bila satu bangsa lebih maju dari bangsa yang lain sebetul ianya adalah satu cabaran dan persaingan yang sihat. Bukanya perlu disekat dan apalagi dibuat satu benteng bagi menimbulkan sikap saling membenci.
Malah kemajuan sebuah negara boleh dipacu dengan sempurna sebagaimana yang pernah dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w di Madinah walaupun di sana Madinah adalah terdiri dari masyarakat majmuk atau berbilang bangsa.
Islam tidak pernah mengajar semangat untuk membenci bangsa dan agama lain. Kita adalah bersaudara dan berasal dari satu keturunan yang sama iaitu Adam dan hawa. Di sana ada tanggung jawab yang besar iaitu mengajak mereka untuk kembali kepada Islam dengan apa cara sekali pun . Malah Rasulullah s.a.w. menghormati apa saja bangsa yang ditemuinya dan terbukti ramai dikalangan sahabat ada mereka yang tidak sebangsa dengan Rasulullah s.a.w. memeluk Islam dan menjadi watak penting dalam sejarah islam. Siapa tidak kenal dengan Bilal berasal dari Afrika dan Salman berasal dari Parsi , dua watak penting yang memeluk Islam setelah menerima dakwah dari Rasulullah s.a.w..
Pernah satu masa Rasulullah s.a.w. menghormati satu jenazah seorang Yahudi sebagaimana dalam Hadis sahih, muttafaq alaih. Lafaznya seperti berikut:
Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?”.Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961). Inilah keagungan dan ketinggian Islam.
Alhamdulillah masa silam telah banyak mengajar kita, sekarang sudah tidak ganjil bila ada pemimpin Islam yang menziarahi orang bukan Islam yang meninggal dunia. Sebelumnya "jauh panggang dari api" , pengalaman silam saya yang keluar dari mulut orang Melayu, kalau ada orang Cina yang meninggal dunia dikatakan "Cina mampuh" dan beberapa kata-kata lain yang menyakitkan hati. Dulu seingat saya semasa emak kandung meninggal dunia pada tahun 1973, tidak ada seorang pun orang Melayu yang datang menziarahi. Entah kenapa.
Keadaan sudah banyak berubah dan banyak yang sudah dipelajari oleh kita sendiri sebagai umat Islam. Perka lampau saya maafkan atas kekhilafan dan kejahilan kita pada masa itu. Contohnya pada penghujung tahun lepas bila Bapak Saudara saya sendiri meninggal dunia lalu saya dihubungi oleh Abang kandung yang belum Islam untuk balik ziarah. Saya sekeluarga balik ke Kelantan . Semasa saya berada sekitar sejam disitu kelihatan ada orang Melayu yang berkopiah datang menziarahi keluarga kami. Malah saya menghubungi YB kawasan itu iaitu Adun Kawasan Tawang,yang merupakan rakan baik saya, YB. Ust. Hassan Mahmud memaklumkan bapak saudara saya meninggal dunia dan beliau berjanji untuk datang melawat selepas itu.
Panjang pula sekali ini, maaf saya sambung dilain kali....29 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan