Sedih tidak terkira rasanya ketika mendengar berita Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin bertambah uzur, walaupun ada juga ketikanya beliau menyampaikan juga ucapan dan tazkirah di beberapa tempat.
Keadaan tokoh pemimpin yang satu ini mengundang doa dari umat Islam di sana sini semoga beliau dipulihkan dari keuzuran untuk meneruskan perjuangan.
Beliau kini berumur 82 tahun dan baru-baru ini beliau menggagahkan diri menyampaikan Kuliah Subuh di masjidnya di Pulau Melaka dengan suara yang tertahan-tahan, mengundang rasa pilu para jamaah.
Kasih sayang rakyat kepadanya sepanjang masa justeru sepanjang hayatnya beliau telah mendambakan perjuangannya kepada Islam melalui wadah PAS. Menyampaikan ribuan kuliah dan ceramah, melayani rakyat pelbagai kaum dan agama di mana-mana.
Beliau adalah legasi yang akan terukir dalam sejarah dan akan dikenang lama, bahawa seorang pemimpin yang menjalani kehidupan serba sederhana, bersuara lembut, tetapi tegas telah mengambil peranan penting mewarnakan perjuangan politik Islam di tanah airnya.
Kini Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' sebagai mengenang jasanya bukan saja sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun, bahkan sebagai tokoh ulung pimpinan dan pemikir gerakan Islam PAS sejak puluhan tahun.
Penubuhan institut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.
Menteri besar itu berharap, idea, pemikiran, ilmu dan dedikasi yang selama ini dikongsikan oleh Tok Guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.
Kekuatan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz terletak kepada istiqamah perjuangannya, menebarkan dakwah sepanjang hayat, ketegasannya mempertahankan PAS dari serangan musuh, menyuntik semangat perjuangan kepada generasi lama dan baru, wawasannya yang sangat jauh ke depan – melampaui zaman – serta kemampuannya menterjemahkan kesyumulan Islam di tengah politik baru Malaysia. Maka kepimpinannya diterima oleh semua kaum.
Untuk selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Tuan Guru menentang habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah sebuah kejahatan, menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.
Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi penghalang utama yang berada di tengah jamaah PAS dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Demikian perjuangannya yang panjang, penuh makna.
Sepanjang perjuangannya,Tuan Guru mengatur strategi, mendekati pelbagai golongan masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mendedahkan tasawuur Islam kepada mereka hingga mereka faham. Tuan Guru lebih gemar menggunakan hujjah, khususnya ketika menghadapi politik musuh, dengan menggunakan hujah Al-Quran, Hadis dan Sunnah serta mantiq (lojik akal).
Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.
Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.
Beliau mematikan semua lampu di bilik MBnya ketika solat di siang hari kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.
Beliau mendiami sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan untuk menjaganya.
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Pada tahun 2009, beliau diletakkan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500 Most Influential Muslims’.
Tuan Guru sangat bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana walaupun uzur, beliau datang juga ke mahkamah di Putrajaya dan memberi sokongan moral kepada DS Anwar Ibrahim di mana pernah pada suatu ketika dulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan DS Anwar sebagai seorang ‘Budak bijak yang dicemburui Umno.
Itulah Tuan Guru Nik Abd Aziz, perjuangangannya akan diteruskan dari generasi ke generasi. Beliau adalah kepimpinan teladan, simbol kepimpinan Malaysia yang merentasi batas kaum dan agama, iaitu hasil pengamatan dan pengalaman serta kebijaksanaannya menterjemahkan tasawuur Islam ke tengah masyarakat majmuk di negara ini.
Generasi pendukung PAS kini dan akan datang sewajarnyalah mencontohi kepimpinan beliau. Tidak bersikap jumud, tetapi terbuka dan bijaksana.
Kita berdoa kepada Allah s.w.t, supaya memulihkan kesihatan Tuan Guru ini.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan