01 April 2014

Promosi Tahun Melawat Malaysia di China ditangguh

30 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA PILAH: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menangguhkan buat sementara waktu 'road show' promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di negara China ekoran tragedi pesawat MH370. 
   
Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah ini dibuat untuk menunjukkan kerajaan bersimpati dengan tragedi yang berlaku. 

    
"Kalau kita meneruskan 'road show' ini, ia menunjukkan seolah-olah kita tidak mengendahkan tragedi itu. 
    
"Walaupun kita menangguhkannya...tapi kita mengalihkan tumpuan pasaran ke negara yang lain seperti negara Asean, India, Timur Tengah dan Eropah," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, dekat sini, semalam. 
    
Katanya, kerajaan amat memahami perasaan rakyat negara China yang meluahkan kemarahan mereka kepada kerajaan Malaysia dalam perkara ini. 

"Kita kena terima hakikat ini dan tidak langsung menganggap ini sebagai satu penghinaan negara China terhadap Malaysia. Kita pun bersedih dan bersimpati dengan apa yang menimpa rakyat mereka.
    
"Kita tidak menafikan memang hakikatnya kedatangan pelancong dari negara China terjejas akibat tragedi MH370," katanya. 
    
Mengenai kedatangan pelancongan ke negara ini setakat ini, beliau berkata bulan Januari dan Februari menunjukkan pertambahan. 

- Bernama

Tiada ulasan: