29 April 2014

Syariah: Pemuda PAS kutuk provokasi MCA

29 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengutuk kenyataan Pemuda MCA yang mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, ugutan Pemuda MCA itu jelas menggambarkan sikap provokatif dan antidemokrasi apabila begitu keras berusaha menutup ruang demokrasi kepada PAS untuk melaksanakan hasratnya melalui jalan demokrasi.


"Tindakan tersebut juga menggambarkan sikap MCA yang terus menerus anti kepada Islam dan ini merupakan satu kegagalan Umno untuk mendidik MCA," tegas Suhaizan.

Beliau seterusnya menuntut Umno bertanggungjawab dengan kenyataan Pemuda MCA tersebut yang secara jelas menggambarkan kejahilan mereka untuk menghormati hak penganut Islam mengamalkan ajaran agama mereka.

Menurut beliau, sikap Umno yang berdiam diri sejak sekian lama terhadap banyak kenyataan pimpinan MCA yang menghina Islam menggambarkan pendirian sebenar parti Melayu itu yang tidak serius mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Dalam satu kenyataan yang dipetik The Sun Daily hari ini, Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan undang-undang jenayah syariah di Dewan Rakyat pada Jun ini bertujuan "untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan".

Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini.

"Rang undang-undang itu akan mengakibatkan krisis perlembagaan dan memecahbelahkan negara. Jika ia diluluskan Parlimen, tidak ada jalan untuk berpatah balik," ujar Chong. HARAKAHDAILY, 29/4/2014

No comments: