25 May 2014

Kementerian sahkan DNA khinzir dalam dua produk Cadbury

25 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine).
  
DNA khinzir itu dikesan Kementerian Kesihatan dalam sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014; dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis terhadap Cadbury Dairy Milk Chocolate bagaimanapun tidak menemui kandungan DNA tersebut.
  
Isu pengesanan DNA khinzir dalam produk Cadbury tersebar luas di media sosial sejak semalam yang memaparkan keputusan analisis terhadap dua produk berkenaan.
  
Dr Noor Hisham berkata ketiga-tiga sampel coklat itu telah diambil untuk analisis DNA khinzir bagi tujuan pemantauan.
  
Beliau berkata pengeluar coklat terbabit, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd akan memanggil balik produk-produk itu daripada pasaran dengan serta merta.
  
"Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya," kata Dr Noor Hisham.
  
Pengguna boleh mengemukakan sebarang soalan kepada Kementerian Kesihatan melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama

No comments: