25 Mei 2014

DNA babi dalam coklat, beberapa persoalan

25 Rejab 1435. [MOD] -
DR AZMAN IBRAHIM 
BERITA Harian hari ini 24 Mei 2014 melaporkan, Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan keputusan analisis sampel dua produk coklat - Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk dan Coklat Susu dengan Buah Badam dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pihak pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta. 


Katanya, siasatan dilakukan ke atas tiga sampel coklat Cadbury berkenaan bagi tujuan pemantauan selepas timbul dakwaan dalam media sosial adanya DNA babi dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas dalam rangkaian media sosial, semalam…

Semalam ketika melihat keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan terhadap coklat ini, saya menilai dalam beberapa aspek:

Pertama, saya berpendapat pegawai yang mendedahkan perkara ini melalui laman sosial adalah tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya. 

Sewajarnya, kalau ini adalah keputusan yang sebenarnya, wajib ada kenyataan rasmi dari pihak Kementerian. Lantaran itulah, pada hari semalam, bagi saya, kebenaran fakta tentang apa yang tersebar ini masih diragui. Tambahan pula ada kesilapan ejaan Cadbury menjadi Cabbury.

Hari ini saya rasa amat pelik dengan Ketua Pengarah Kesihatan ekoran kenyataannya bahawa siasatan ke atas 3 sampel coklat Cadbury berkenaan dilakukan setelah timbul dakwaan dalam media sosial tentang perkara ini.  

Bukankah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan yang melakukan ujian itu adalah satu agensi di bawah Kementerian Kesihatan, bagaimana boleh berlaku Ketua Pengarahnya cuma tahu melalui media sosial? 

Tak kan tak ada sebarang laporan atau pemakluman rasmi? Lagak Ketua Pengarah Kesihatan macam terkejut je. Saya harap dia bukan buat-buat terkejut.

Apabila tahu saja semalam, terus beliau buat siasatan dan hari ini sudah boleh umumkan hasilnya. Cepatnya! Bagus! Tindakan yang cepat dan pantas! 

Tetapi bagaimana kaedah siasatan dan ujian yang telah dilakukan sehingga hasilnya secepat itu boleh diumumkan? 

Jangan marah kalau masyarakat Jabi yang tak begitu bersekolah tinggi meletakkan sangkaan, mungkin keputusan ujiannya dah lama diketahui, tetapi kerana sesuatu kepentingan, maka ianya disembunyikan.

Melihat kepada gambar foto keputusan ujian yang tersebar tersebut, tarikh analisa telah dilakukan pada 27 Februari 2014 lagi. Maknanya telah 3 bulan yang lalu. 

Kenapa baru sekarang diumumkan? Apakah kalau perkara ini tak disebarkan melalui media sosial, ianya akan terus didiamkan dan peminat coklat Cadbury akan terus memasukkan unsur haram ke dalam perut mereka? 

Kesilapan ejaan Cadbury menjadi Cabbury bagi saya hanyalah typing error sahaja. Produk bernama Cabbury tak pernah dilihat berada dalam pasaran. Memang yang diuji dan dimaksudkan adalah Cadbury.

Hati kecil saya secara jujur rasa berterima kasih kepada insan yang mengambil alternatif mendedahkan perkara ni.
Walaupun pada peringkat awal semalam saya kata, anda tidak amanah dalam menjaga kerahsian maklumat yang sepatutnya bukan didedahkan melalui cara sebegitu. Hari ini sebaliknya saya kata, kalau anda tak dedahkan, saya yakin ianya terus disimpan rapi!

Seterusnya, setelah perkara ini dimaklumkan secara rasmi oleh pihak KKM, cukupkah hanya sekadar Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta?
Tak ada sebarang tindakan undang-undang dan penguatkuasaan? Tak ada sebarang akta yang boleh menghukum pengilang yang tak bertanggungjawab ini.

Masakan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd tak tahu bahawa mereka telah memasukkan unsur babi (baca khinzir) ke dalam makanan yang diletakkan tanda halal.

Kalaulah perkara ini berlaku di negara Cina di mana pengilang memasukkan bahan yang tak dibenarkan ke dalam makanan, nescaya pengilang ini akan tahu bahawa selepas hari Sabtu akan datang hari Ahad! Tapi untungnya pengilang kerana insiden ini berlaku di Malaysia.

Tiada ulasan: