15 May 2014

Kenapa Ahmad Said “turn back’?

14 Rejab 1435. [MOD] -
Ahmad SaidPETALING JAYA: Semalam segala-galanya berakhir apabila tiga ADUN yang buat onar, Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), anak sepupunya, Ghazali Taib (Ajil)  dan Roslee Daud (Bukit Besi) tak jadi meninggalkan Umno. Di saat-saat Umno Terengganu sedang nazak, Umno memerlukan mereka berdua.
Tahniah kepada mereka bertiga yang menyokong Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Razif bersetuju menyediakan bas percuma kepada rakyat Sabtu ini di setiap daerah di Terengganu untuk pergi ke rumah Ahmad Said kerana mengenang jasa beliau sebagai menteri besar Terengganu selama enam tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula merendahkan diri memohon maaf kepada Ahmad Said kerana menganggap majlis perkahwinan anaknya Sabtu ini sebagai masalah peribadi dan bukannya masalah kerajaan. Ahmad Said sebagai manusia biasa tidak sempurna bertindak emosional apabila menyentuh soal perkahwinan anaknya.
Malah beliau mengakui anaknya trauma selepas Najib enggan menangguhkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar walaupun beliau tahu kontraknya berakhir pada 9 Mei lalu. Alasannya beliau memilih tarikh Sultan Terengganu lapang maka majlis itu diadakan pada 17 September dan bukannya dia sengaja melengah-lengahkan majlis perkahwinan anaknya.
Ada yang menganggap penangguhan peletakan jawatan itu adalah helah Ahmad Said untuk membeli Exco-Exco yang ada. Ramalan ini tepat apabila seorang Exco yang enggan menyebut nama mengesahkan kepada FMT bahawa bekas menteri besar itu memang berhasrat membawa beberapa exco ke luar negara selepas 12 Mei. Apabila info ini diketahui oleh Najib, maka Najib bertegas supaya Ahmad Said tetap meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada hari yang sama.
Sebab itu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dihantar ke Kuala Terengganu pada petang yang sama untuk memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Said dan pada malam yang sama diadakan majlis angkat sumpah menteri besar baharu seolah-olah ia diadakan secara tergesa-gesa.
Malah ada sumber yang rapat dengan Ahmad Said berkata bekas menteri besar itu tidak dimaklumkan majlis angkat sumpah itu. Sebab itu Ahmad Said tidak hadiri majlis tersebut.
Sumber yang rapat dengan PAS memberitahu FMT, dua hari sebelum majlis angkat sumpah menteri besar yang baharu, Ahmad Said telah menghantar Bendahari Umno Bahagian Kemaman, Abdul Sidek atau lebih dikenali sebagai Haji Dol menemui pemimpin PAS.
Haji Dol beritahu pemimpin PAS bahawa Ahmad Said akan bawa enam orang Exco keluar dari Umno dan sanggup mengadakan kerajaan campuran dengan PAS di Terengganu. Maka PAS negeri membuat mesyuarat tergempar pada hari yang sama.
Seorang pemimpin PAS kanan tidak setuju dengan tindakan Ahmad Said itu. Dia kata bekas menteri besar itu boleh dipercayai ke? Dengan Umno sanggup dia kencing, apatah lagi dengan PAS nanti. Katanya, lebih baik buat kerajaan campuran dengan Umno daripada kumpulan Ahmad Said.
Sebab itulah pada malam 13 Mei Ahmad yakin enam orang Exco akan keluar bersamanya. Sebaliknya dua orang sahaja yang ikut Ghazali Taib dan Roslee Daud (Bukit Besi). Tiga orang lain menafikan keluar dari Umno iaitu Datuk Mat Jidin Shafie (Permaisuri), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).
Misi Haji Dol gagal sebab itu Ahmad Said kata ada orang PAS melamarnya supaya beliau masuk PAS padahal PAS Terengganu tidak setuju kumpulan Ahmad Said buat kerajaan campuran dengan PAS.
Apabila dua ADUNnya “turn back” iaitu Roslee Daud dan Ghazali Taib, maka Ahmad Said tidak ada pilihan terpaksa kembali menyertai Umno jika tidak kes SPRM terhadapnya akan diteruskan.
Sumber SPRM memberitahu FMT failnya masih dalam penyiasatan dan berkata ia bukan masa yang sesuai untuk mendakwa Ahmad Said sekarang. Tetapi apabila beliau “turn back” maka fail itu sudah tentu tidak akan dibuka lagi.
Maka pilihan Ahmad kembali ke pangkuan Umno dapat menyelamatkan dirinya. Mungkin jawatan Duta sedang menanti beliau selepas ini. Tindakan Ahmad Said, Ghazali Taib dan Roslee Daud tidak jadi keluar dari Umno menyebabkan BN kekal memerintah Terengganu dengan BN 17 kerusi dan 15 PAS.
Ahmad Said menyatakan sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai menteri besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baharu. Semalam penasihat utama Ahmad Said, Datuk Wan Ahmad Wan Muda ditukarkan dari jawatan CEO Terengganu Incorporated ke jawatan “peti sejuk” di pejabat SUK.
Wan Ahmad yang selama ini dianggap sebagai MB Terengganu kedua yang menghuru-harakan pentadbiran Ahmad Said selama enam tahun. Maka tindakan Setiasaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah adalah tepat.

freemalaysiatoday.com

No comments: