14 May 2014

Zahid ingatkan ahli Umno sentiasa bersiap sedia

13 Rejab 1435. [MOD] -


Ahli Umno, terutama di Terengganu, diingatkan supaya sentiasa bersiap-sedia dalam menghadapi apa jua situasi politik yang melanda parti itu.
  
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketaatsetiaan ahli-ahli Umno di peringkat umbi akar umbi sedang diuji. 
"Oleh itu kepentingan parti harus mendahului kepentingan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas kemelut politik yang tercetus di Terengganu.
  
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, yang merupakan ADUN Kijal, mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas pada awal pagi Selasa bersama ADUN Ajil, Ghazali Taib.
  
"Jangan biarkan elemen kemusnahan oleh musuh dalam dan luar parti menguasai pertimbangan politik kita," katanya.
  
Ahmad Zahid berkata ahli Umno perlu memastikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan hendaklah menjadi tonggak kepada semua lapisan kepimpinan dan ahli-ahli, demi memperkasakan keutuhan parti.
  
Berikutan tindakan Ahmad Said bersama Ghazali keluar Umno, maka kedudukan kerusi BN di 32 kerusi DUN Terengganu kini menjadi 16 kerusi (termasuk kerusi Speaker DUN Terengganu) manakala PAS mempunyai 14 kerusi, PKR (1) dan dua Bebas.

Sementara itu di KOTA BAHARU, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menasihatkan ahli Umno supaya tidak mendengar khabar angin yang boleh menjejaskan perjuangan parti itu.
  
Beliau berkata ahli Umno juga perlu setia kepada parti dan terus memperjuangkan kepentingan rakyat demi kekuatan parti.
  
"Kita perlu lihat kepada keadaan umum yang lebih besar... kita nak perjuangkan agama Islam, bangsa dan negara kita. Ini mengatasi apa-apa jua kepentingan lain termasuk kepentingan peribadi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Blogger dan Pengamal Media Maya di Kota Bharu malam tadi.
  
Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata ahli Umno juga perlu akur pada pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat.
  
"Kita sebagai pemimpin hendaklah akur. Kesetiaan itu penting dan perlu menjadi amalan kita. Insya-Allah kita akan selamat tetapi kalau kita pertikaikan keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita maka keadaan akan tidak stabil... sudah pasti ada hikmah ada sebab tertentu kenapa keputusan di buat," katanya.
  
- Bernama

No comments: