05 Jun 2014

Kuasa Sultan lebih luas melalui enakmen baru

7 Sya'aban 1435. [MOD] -


Kerajaan Johor akan membentangkan satu rang undang-undang baru di DUN pada hari Isnin untuk membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga tersebut.
Ia merupakan enakmen pertama yang memberi kuasa meluas kepada Sultan berhubung isu perumahan.

Rang Undang-undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 itu bertujuan untuk membentuk satu lembaga untuk mempromosi dan menjalankan pembangunan perumahan dan hartanah di negeri itu.

Exco hal ehwal perumahan, Datuk Abd Latiff Bandi mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang tersebut untuk bacaan kali pertama dalam persidangan Dewan pada hari Isnin.

Salinan rang undang-undang itu juga sudah diedarkan kepada kesemua ADUN Johor, kata Abd Latiff.

Menurut dokumen itu, lembaga berkenaan akan dipengerusikan oleh menteri besar, manakala exco yang bertanggungjawab ke atas perumahan dan kerajaan tempatan akan bertindak sebagai timbalan.

Lima orang lagi anggota lembaga berkenaan terdiri daripada setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang kerajaan, pegawai kewangan negeri, pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Luar Bandar serta pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri.

Seksyen 4 dalam cadangan enakmen tersebut membenarkan sultan melantik sehingga empat individu sebagai anggota lembaga tersebut untuk tempoh tidak lebih dari dua tahun dan akan dilantik semula melainkan mereka meletak jawatan atau pelantikannya ditarik balik oleh Sultan.

Rang undang-undang itu juga memberi kuasa Sultan seperti berikut:
  • Menetapkan ganjaran atau elaun ahli lembaga;
     
  • Meluluskan pelantikan pengarah, yang boleh dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif lembaga;
     
  • Meneliti akaun atau melantik seseorang untuk melakukannya;
     
  • Membubarkan lembaga.
malaysiakini.com

Tiada ulasan: