05 June 2014

PPIM saran k'jaan wujud akta produk halal

7 Sya'aban 1435. [MOD] -

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Produk Halal bagi melindungi kepentingan umat Islam dan integriti institusi Islam di negara ini.
  
Setiausahanya, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata sistem pensijilan halal boleh menjadi satu sabotaj ekonomi dan malapetaka jika isu berkaitan makanan seperti kemelut penemuan DNA khinzir dalam coklat Cadbury tidak ditangani dengan betul.
   
"Kita harap kerajaan serius dan komited melindungi dan memperkasa kepentingan umat Islam, maruah, agama dan institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam negeri," katanya dalam satu kenyataan.
    
Baru-Baru ini, satu laporan memetik Kementerian Kesihatan mengesan 'porsin' atau DNA khinzir dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk Cadbury bertarikh luput 13 Nov 2014 serta kelompok bertarikh luput 15 Januari 2015.
   
Isnin lepas, JAKIM mengesahkan dua sampel produk itu yang diambil terus dari kilang syarikat disahkan tidak mengandungi DNA khinzir oleh makmal Jabatan Kimia.
    
Ma'amor juga berkata PPIM mencadangkan kerajaan menambah makmal yang diakreditasi agar pengesahan kehadiran DNA khinzir boleh dikesan tanpa diragui.

- Bernama

No comments: