06 Jun 2014

Presiden PAS makin pulih, terima kunjungan pelbagai pihak

9 Sya'aban 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sejak dipindahkan ke wad biasa kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak putus-putus menerima kunjungan dari pelbagai pihak.

Semalam, beliau turut menerima kunjungan Sheikh Yussof Nada iaitu salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir di zaman Imam Hassan al-Banna.


Selain itu Tuan Guru Abdul Hadi juga dikunjungi bekas Menteri Tenaga Turki, Recei Kutan dan dihubungi sendiri oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob juga turut menziarahi beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi dimasukkan ke wad ICU hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul Jumaat lalu selepas mengadu sesak nafas.

Beliau bagaimanapun dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas kesihatannya beransur pulih.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut berada bersama Tuan Guru Abdul Hadi berkata, sejak dimasukkan ke hospital itu, doktor melakukan pemeriksaan menyeluruh.

"Keadaan kesihatan Tuan Guru (Abdul Hadi) menunjukkan perkembangan yang sangat baik, di mana pihak doktor juga telah melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan kesihatan beliau benar-benar pulih sepenuhnya," katanya menerusi Facebook Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: