06 June 2014

Malaysia akan rayu tambah kuota haji

9 Sya'aban 1435. [MOD] -



Malaysia akan cuba mendapatkan kuota tambahan jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah itu pada tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata pengurangan kuota haji sejak tahun lepas serta peningkatan jumlah pendeposit di Tabung Haji (TH) menyebabkan lebih ramai umat Islam di negara ini terpaksa menunggu giliran yang lama untuk mengerjakan haji.
  
Katanya sehingga Mei lepas, sebanyak 1.5 juta umat Islam mendaftar untuk mengerjakan haji dengan sejumlah besar daripadanya adalah golongan muda dan kanak-kanak.
  
"Ini gambaran tahap ekonomi umat Islam di negara ini semakin baik dengan semangat dan kesedaran untuk menunaikan haji yang tinggi. Namun senarai yang semakin panjang dan jumlah kuota yang terbatas menyebabkan ia mengambil masa
kira-kira 50 tahun sebelum tiba giliran masing-masing.
  
"Saya menganggap ini suatu cabaran besar dan kita termasuk saya sendiri akan cuba merayu supaya kerajaan Saudi dapat pertimbangkan kuota tambahan bagi merekayang ingin menunaikan haji," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Haji Debit-i Mastercard dan buku mewah TH di ibunegara semalam.
  
Perdana Menteri berkata sejak 2009, kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun berkurangan sebanyak 20 peratus sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.
  
"Oleh yang demikian, sejak tahun lepas, kuota Haji baru bagi Malaysia adalah sebanyak 22,320," katanya.
  
Najib berkata Tabung Haji akan mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini yang melibatkan jumlah keseluruhan tanggungan kos haji melebihi RM130 juta.
  
Katanya kos sebenar bagi setiap jemaah haji untuk menunaikan ibadah tersebut adalah kira-kira RM16,000.
  
"Kalau dikira dari segi subsidi, ini merupakan kadar subsidi tertinggi yang pernah kita berikan bagi tiap-tiap seorang individu di negara ini," katanya.

Kad Tabung Haji Debit-i Mastercard yang dilancarkan hari ini memberi kemudahan 24 jam kepada pendeposit Tabung Haji untuk melakukan transaksi pengeluaran dan pembelian di lebih 38 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia.
  
Di majlis itu, Najib turut melancarkan buku mewah yang mendokumentasikan peristiwa penting sepanjang 50 tahun penubuhan Tabung Haji.
  
Buku Tabung Haji itu diterbitkan dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail.

Bernama

No comments: