06 June 2014

Presiden PAS boleh keluar wad sehari dua lagi

9 Sya'aban 1435. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Keadaan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kini sedang dirawat di wad hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul bertambah baik.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semalam doktor pakar yang merawat Tuan Guru Abdul Hadi memberitahu, dengan perkembangan positif itu, kemungkinan besar beliau akan dibenar keluar hospital dalam sedikit masa lagi.

"Alhamdulillah kami menerima perkhabaran yang menggembirakan hari ini oleh doktor pakar yang merawat Tuan Guru bahawa dengan keadaan kesihatan beliau yang terkini setelah pemeriksaan dijalankan pagi ini, Tuan Guru kemungkinan besar akan boleh keluar dari wad dalam sehari dua ini.

"Dalam masa yang sama, Tuan Guru juga perlu menjaga pengambilan makanan dan minuman serta berehat sepenuhnya dalam tempoh yang akan dinilai dari semasa ke semasa," maklum beliau melalui tulisan di Facebook Presiden PAS itu.

Maklumat ringkas itu disampaikan beliau kira-kira jam 1.45 petang waktu Istanbul dan 6.45 petang waktu Malaysia pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan, semalam Tuan Guru Abdul Hadi turut menerima kunjungan dari Ketua Ulama Parti Saadat, Turki Dr Abdul Wahab.

Selain itu, wakil DAP Nga Kor Meng yang juga Ahli Parlimen Taiping turut melawat beliau semalam.

Tuan Guru Abdul Hadi dimasukkan ke wad ICU hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul Jumaat lalu selepas mengadu sesak nafas.

Beliau bagaimanapun dipindahkan ke wad biasa Selasa lalu selepas kesihatannya beransur pulih. - HARAKAHDAILY

No comments: