06 Jun 2014

WhatsApp sasar sumbang 1 bilion pengguna baru kepada Facebook

9 Sya'aban 1435. [MOD] -

PALO ALTO, California: Walaupun sukar meningkatkan penggunaan di Amerika Syarikat dan beberapa pasaran lain, Pengasas Bersama WhatsApp Brian Acton yakin syarikat akan memberi sumbangan penting kepada bakal pemiliknya, Facebook Inc. 

“Memang mencabar untuk terus berkembang di Amerika Syarikat. Begitu juga di Jepun dan Taiwan, tetapi kami boleh lebih berjaya dengan usaha lebih keras,” katanya pada StartX, forum untuk syarikat pemula yang diadakan dengan kerjasama Stanford University di sini malam tadi. 



Bagaimanapun, Acton tampil yakin pada forum itu, komen pertamanya selepas Facebook pada awal tahun ini mengumumkan akan membeli WhatsApp pada pertimbangan AS$19 bilion (RM14 bilion) menerusi tunai dan saham. 

Mengikut Acton, dengan mengambil kira nilai semasa WhatsApp, syarikat yakin akan menyumbangkan satu bilion pengguna baru kepada rangkaian sosial itu walaupun perkhidmatan WhatsApp akan kekal berasingan daripada Facebook. 

Beliau menyifatkan hubungan antara kedua-dua syarikat sebagai ‘berasingan tetapi setara’, akan tetapi penyepaduan bersama kedua-dua perkhidmatan itu boleh mengundang risiko dan bahaya. 

“Keadaan sekarang bukan bermakna kami (WhatsApp) akan ditelah ‘gergasi’,” katanya meredakan kebimbangan pelbagai pihak bahawa Facebook akan memanfaatkan data pengguna WhatsApp untuk kelebihan media sosial itu. 

Bagi Acton, WhatsApp tidak mempunyai banyak data bernilai untuk dikongsi. Apa yang syarikat itu ada hanyalah nombor telefon pengguna dan semua mesej pengguna sudah dienkrip hinggakan kakitangan syarikat juga tidak boleh membacanya. -Reuters 

Tiada ulasan: