28 Jun 2014

Mahkamah putuskan 10 daripada 13 orang terlibat demonstrasi Bukit Chandan didapati bersalah.

29 Sya'aban 1435.
Harakahdaily

IPOH: Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan 10 daripada 13 orang yang ditahan dalam demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 lalu didapati bersalah.

Namun penghujahan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi dalam mitigasi berjaya meyakinkan Hakim, Datuk Ahmad Nashfi untuk mengetepikan hukuman penjara yang disabitkan ke atas 10 yang lain namun hukuman denda sebanyak RM5,000 setiap orang dikekalkan.

Asmuni ketika dihubungi berkata, beliau berpuas hati dengan hakim yang mendengar dengan baik penghujahan oleh barisan peguam perayu.

Pada awalnya, beliau berkata, Hakim telah memutuskan 3 daripada 13 perayu didapati tidak bersalah apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes dan dibebaskan tanpa disabitkan sebarang hukuman.

Katanya, setelah proses mitigasi, Hakim berpendapat bahawa hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan kepada 10 yang lain itu sebagai keterlaluan.

Ujarnya, Hakim mengambil kira penghujahan oleh peguam berkenaan faktor peribadi masing-masing perayu.

"Ada daripada mereka mempunyai pelbagai penyakit dan anak mereka mempunyai penyakit yang perlu pengawasan rapi.

"Dari kalangan perayu juga ada yang muda dan jika disabitkan hukuman penjara sudah pasti akan menjejaskan masa depannya.

"Hakim juga mengambil kira jasa dan pengorbanan perayu yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan," ujarnya.

Namun begitu, Asmuni berkata, barisan peguam akan melihat kembali keputusan kepada dua perayu yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 kerana ia akan menyebabkan karier kepada seorang daripadanya terjejas oleh kerana denda tersebut lebih daripada gaji yang diperoleh.

"Ia juga akan berisiko menjejaskan elaun persaraan seorang perayu.

"Kita perlu lihat semula, jika menjejaskan mereka kita akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu," jelasnya lagi.

Hadir sama dalam memberikan solidariti ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan barisan pimpinan Pakatan Rakyat bersama puluhan penyokong.

Pada 13 September lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada mereka kerana terlibat dengan demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009.

Pada masa yang sama Pemuda PAS Perak, melalui ketua pemudanya, Dr Raja Ahmad Iskandar merakamkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Taiping itu.

“Bagi kami, ini adalah perjuangan rakyat dan kagum dengan semua Orang Kena Zalim (OKZ)  yang mengharungi perbicaraan selama ini.” Ujar Raja Iskandar

Raja Iskandar juga mengucapkan tahniah juga kepada Pasukan Peguam yang bekerja keras membantu OKZ dan semua Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang memberikan sokongan moral selama ini.

“Kepada Ahli Keluarga OKZ, kami amat hargai pengorbanan mereka selama ini menunggu dengan penuh sayu dan mengharapkan keajiban selama perbicaraan berlangsung. Kepada semua yang memberikan sokongan selama ini, kami mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.” Ujarnya lagi.

Beliau turut merayu kepada orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan bebaban OKZ yang terpaksa membayar denda RM5,000. Peringkat Pemuda PAS di setiap kawasan parlimen boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada PR Perak bagi tujuan tersebut.

Tiada ulasan: