22 July 2014

Gaza: 573 gugur syahid termasuk wartawan

24 Ramadhan 1435. [MOD] -


GAZA: Semalam adalah hari ke-15 berturut-turut tentera Zionis Israel melancarkan serangan terhadap penduduk Gaza.

Sehingga semalam, jumlah korban terus meningkat kepada 573 orang manakala 3,400 lagi dilaporkan cedera yang sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu juga, ribuan rumah lagi musnah dalam serangan bom tentera Israel.

Semalam juga seorang petugas media Palestin Khaled Hamad terbunuh ditembak tentera Israel.

Hamad, 25, yang bekerja untuk syarikat Continue TV, ditembak mati ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kejiranan Shujaia di bandar Gaza.

Israel juga dikatakan mensasarkan beberapa lagi wartawan tempatan dalam usaha menyekat penyebaran maklumat kekejaman mereka kepada dunia.

Wartawan Mahmoud Al-Louh dan jurukamera Kareem Tartouri turut menjadi sasaran Israel apabila mereka diserang semalam.

Mahmoud dan Kareem yang berkerja dengan stesen radio Al-Ashab dilaporkan cedera.

"Wartawan mesti dibenarkan untuk melaporkan apa yang berlaku dan tidak disasarkan oleh tentera untuk kerja-kerja mereka.

"Kami menyeru Israel untuk menghormati hak-hak dan kebebasan media Palestin, " kata Presiden Persekutuan Wartawan Antarabangsa Jim Boumelha.

Selain itu, agensi berita antarabangsa CNN turut dilaporkan memanggil balik wartawan mereka, Diana Magnay ekoran tindakan beliau mengutuk Israel.

Beliau membuat kenyataan itu di Twitter ekoran melihat penduduk Israel bersorak melihat pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Palesti oleh tentera rejim. - HARAKAHDAILY

No comments: